WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin memberi isyarat kemajuan dalam rundingan dengan Iran bagi mengelakkan perang kembali tercetus, ketika Teheran berkata, pertukaran maklumat secara intensif sedang berlangsung, selain menawarkan untuk membuka semula Selat Hormuz dengan syarat ketat.
Perjanjian dengan Teheran mungkin tercapai, tulis Trump menerusi platform Truth Social miliknya sehari sebelum pilihan raya pertengahan penggal AS yang penting.
Beliau menambah bahawa Iran mahukan penyelesaian, secepat mungkin.
Naib Presiden AS, JD Vance secara berasingan berkata beliau dan Trump optimis untuk mencapai persetujuan.
“Kami sememangnya telah mencapai beberapa kemajuan. Kita lihat sama ada kami boleh mencapai lebih banyak lagi,” kata Vance kepada pemberita pada Isnin.
Harga minyak yang melonjak akibat sekatan Iran terhadap laluan tenaga Selat Hormuz menjunam lebih tujuh peratus pada Isnin berikutan optimisme terhadap kemungkinan berakhirnya konflik yang berlarutan selama lapan bulan itu.
Trump turut merujuk kepada kejatuhan harga minyak dalam hantaran media sosialnya.
Isyarat diplomatik baharu itu muncul menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa, ketika Parti Republikan pimpinan Trump berusaha mengekalkan kawalan Kongres meskipun pengundi tidak berpuas hati dengan perang dan kenaikan harga bahan api.
Parti Demokrat menjangkakan kemenangan sekurang-kurangnya sebahagian daripada kawalan Kongres dan mengenakan kekangan politik terhadap Trump buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata pada Isnin bahawa rundingan tidak langsung dengan Washington sedang berlangsung menerusi perantara.
“Memandangkan kepekaan dan keseriusan situasi semasa, rundingan dan perbincangan berlangsung dengan sangat intensif,” kata Araghchi dalam temu bual video dengan agensi berita rasmi IRNA.
“Qatar dan Pakistan memainkan peranan perantara yang sangat aktif dalam rundingan ini.”
China turut menggesa rundingan disambung semula, manakala ketua keselamatan Iran membincangkan konflik itu dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin. – AFP











