Warga asing dilarang berniaga di bazar tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Warga asing dilarang berniaga di bazar tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Warga asing tidak dibenarkan menjalankan aktiviti perniagaan di bazar atau karnival tempatan, manakala penganjur boleh dikenakan tindakan sekiranya gagal memastikan pematuhan terhadap peraturan ditetapkan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan penglibatan warga asing dalam aktiviti perniagaan.

Beliau turut mengingatkan penganjur supaya memastikan semua peniaga yang mengambil bahagian mematuhi syarat ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita ada peraturan dan undang-undang. Kita sangat tegas dalam perkara ini. Memang warga asing tidak dibenarkan berniaga di sini kerana ia tertakluk di bawah Peraturan 39B.

“Sementara penganjur juga boleh didenda dan dikenakan tindakan. Sebab itu saya harap peniaga-peniaga yang berniaga di sini mematuhi syarat kerana kita sangat konsisten dan tidak ada kompromi dalam perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Karnival Deepavali Ke-24 2026 di Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pemantauan aktiviti perniagaan di bazar dan karnival, Shamsul Anuar berkata, pengeluaran lesen perniagaan terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagaimanapun, katanya, operasi penguatkuasaan terhadap peniaga yang menjalankan perniagaan tanpa kebenaran dilaksanakan secara kerjasama antara polis, Jabatan Imigresen Malaysia dan PBT.

Dalam pada itu, beliau memuji penganjuran Karnival Deepavali anjuran Agenda Suria Communications kerana mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan, khususnya berkaitan penglibatan warga asing dalam aktiviti perniagaan.

Katanya, penganjuran karnival berkenaan bukan sahaja menyemarakkan sambutan Deepavali, malah membuka peluang ekonomi kepada usahawan tempatan.

Lebih 400 peniaga menyertai karnival itu, termasuk peniaga dari negara jiran.

Beliau turut menyifatkan karnival berkenaan sebagai platform yang membolehkan masyarakat pelbagai kaum bersama-sama meraikan perayaan Deepavali sekali gus mengukuhkan perpaduan rakyat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agenda Suria Communications merangkap penganjur karnival, Jaggarao Simancha berkata, semua peniaga yang mengambil bahagian merupakan peniaga tempatan yang mempunyai rakan kerjasama dari Malaysia dan India.

Menurutnya, konsep kerjasama strategik itu membolehkan peniaga tempatan mengakses pasaran antarabangsa, selain memastikan penganjuran karnival mematuhi peraturan KDN dan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kita membawa konsep kerjasama strategik antara Malaysia dan India. Semua yang berniaga di sini ialah peniaga Malaysia yang mempunyai rakan kerjasama tempatan.

“Melalui pendekatan ini, kita dapat mengembangkan ekonomi masyarakat tempatan dan pada masa sama memberi peluang kepada peniaga tempatan untuk mengakses pasaran luar negara,” katanya.

Jaggarao berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran kira-kira 400,000 pengunjung tahun ini berbanding sasaran awal 300,000 orang, dengan nilai jualan dianggarkan antara RM50 juta hingga RM70 juta.

Beliau berkata, karnival yang mula dianjurkan pada 2002 itu kini berkembang daripada kira-kira 50 ruang pameran kepada 400 ruang pameran pada tahun ini.

Menurutnya, Bukit Jalil dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana mempunyai kemudahan pengangkutan, kawasan parkir yang luas serta kedudukan strategik di Kuala Lumpur.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini