BAITULMUQADDIS: Israel mengeluarkan 9,518 notis perobohan dan arahan menghentikan kerja pembinaan terhadap bangunan serta struktur milik rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki sejak 2015.
Menurut Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan Palestin, daripada jumlah itu sebanyak 9,174 notis dikeluarkan antara 2015 hingga 2025, manakala 344 lagi direkodkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Suruhanjaya itu berkata, notis berkenaan menyebabkan kerja pembinaan dihentikan dan harta benda penduduk berdepan ancaman perobohan, lapor agensi berita Anadolu.
Keadaan itu turut menjejaskan kehidupan keluarga Palestin dan menyekat usaha komuniti membina kediaman, memperluas kemudahan awam serta meneruskan kegiatan ekonomi.
Bagaimanapun, suruhanjaya itu menjelaskan angka berkenaan tidak merangkumi semua notis yang dikeluarkan pihak berkuasa Israel.
Sebaliknya, data itu berdasarkan kes yang direkodkan suruhanjaya berkenaan dan rakan pertubuhan undang-undang, termasuk Pusat Bantuan Guaman dan Hak Asasi Manusia Baitulmuqaddis serta Persatuan St Yves.
Hebron mencatatkan jumlah notis tertinggi iaitu 2,697, diikuti Bethlehem dengan 1,310 notis, Ramallah, al-Bireh (1,118) dan Baitulmaqdis (929).
Jumlah notis tahunan tertinggi direkodkan pada 2023 iaitu sebanyak 1,333, berbanding 701 pada 2015.
Dalam perkembangan berasingan, data Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) menunjukkan hampir 12,000 struktur dirobohkan dalam tempoh sama. Ia termasuk 1,698 struktur yang dibina menggunakan dana bantuan penderma.
Operasi perobohan itu menyebabkan lebih 18,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal dan menjejaskan kehidupan kira-kira 843,000 penduduk, menurut OCHA.
Pejabat PBB itu merekodkan perobohan yang dilakukan atas pelbagai alasan, termasuk ketiadaan permit pembinaan yang dikeluarkan Israel, sebagai langkah hukuman atau ketika operasi ketenteraan.











