Pekat ambil alih 6 lot tanah bernilai RM30.58j 

Pekat ambil alih 6 lot tanah bernilai RM30.58j 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pekat Group Berhad (Pekat) menerusi anak syarikat tidak langsung milikan 60 peratusnya, EPE Switchgear (M) Sdn. Bhd. memeterai perjanjian untuk memperoleh enam lot tanah perindustrian pegangan bebas di Labu, Seremban, Negeri Sembilan pada harga RM30.58 juta.

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Pekat berkata, pemerolehan tanah dengan keluasan keseluruhan 38,108 meter persegi itu dimeterai menerusi enam perjanjian jual beli berasingan dengan Sime Darby Property (Nilai) Sdn. Bhd. pada 30 Oktober 2026.

Katanya, harga pembelian bersih sebanyak RM30.58 juta itu mengambil kira rebat berjumlah RM2.25 juta daripada harga asal RM32.82 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Rebat berkenaan merangkumi rebat pembelian awal sebanyak tiga peratus, rebat khas pembelian pukal dua peratus dan rebat menandatangani awal sebanyak dua peratus, yang dikira secara berturutan.

“Pemerolehan itu bertujuan menampung rancangan pengembangan Kumpulan memandangkan premis sedia ada EPE di Nilai tidak mempunyai kapasiti mencukupi,” katanya.

Pekat berkata, tanah berkenaan akan menempatkan operasi pembuatan alat suis sedia ada EPE serta perniagaan sistem penyimpanan tenaga bateri, transformer dan pencawang elektrik Kumpulan.

Menurutnya, pemerolehan berkenaan akan menyediakan jaminan jangka panjang dari segi hak milik tanah bagi operasi kumpulan dan harga pembelian itu akan dibiayai menerusi dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman bank.

“Mengikut perjanjian, Sime Darby Property (Nilai) akan melaksanakan kerja-kerja infrastruktur termasuk kerja tanah, sistem perparitan luaran, rangkaian utama bekalan air dan pembetungan, kemudahan telekomunikasi serta jalan akses utama di atas kos sendiri.

“Milikan kosong tanah berkenaan dijadualkan diserahkan dalam tempoh 48 bulan dari tarikh perjanjian jual beli.

“EPE pula dikehendaki memulakan pembinaan bangunan perindustrian di setiap lot dalam tempoh 36 bulan selepas tamat tempoh pembinaan infrastruktur,” ujarnya.

Tambahnya, sekiranya EPE gagal memenuhi kewajipan pembinaan itu, penjual mempunyai hak untuk membeli semula lot berkenaan pada harga 90 peratus daripada jumlah bersih yang telah dibayar EPE.

Pekat berkata, pemerolehan itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap aset bersih dan pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, kecuali kos pembiayaan daripada pinjaman yang digunakan.

“Nisbah penggearan kumpulan mungkin meningkat sekiranya pembiayaan melalui pinjaman bank digunakan.

“Nisbah peratusan tertinggi bagi pemerolehan itu adalah kira-kira 10.13 peratus berdasarkan aset bersih disatukan teraudit yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat berjumlah RM301.94 juta setakat 31 Disember 2025,” jelasnya.

Tambahnya, lembaga pengarah Pekat berpendapat pemerolehan itu adalah demi kepentingan terbaik kumpulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini