KUALA LUMPUR: Kerajaan dipersoal kerana masih belum mendedahkan hasil siasatan awal berhubung kegiatan mafia korporat meskipun siasatan itu diumumkan pada Februari lalu.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu sekali lagi menjanjikan siasatan telus dan bebas di bawah pimpinan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, selain memberi jaminan tiada pihak akan terlepas daripada tindakan termasuk mereka yang berada di kedudukan tertinggi.
Beliau berkata, janji sama pernah dibuat pada Februari lalu susulan pendedahan berhubung skandal saham yang kemudian berkembang kepada isu mafia korporat.
Katanya, sehingga kini hasil siasatan dilaksanakan itu masih belum didedahkan kepada umum sekali gus menimbulkan persoalan mengenai skop dan terma rujukan siasatan diumumkan semula pada Oktober lalu.
“Bagaimanapun, sehingga hari ini, hasil siasatan masih belum didedahkan kepada umum. Badan siasatan yang diumumkan pada Februari lalu diketuai Peguam Negara, sama seperti badan siasatan yang diumumkan minggu lalu.
“Apa perbezaan skop atau terma rujukan badan siasatan yang diwujudkan pada Februari dengan yang diwujudkan lagi sekali pada Oktober?
“Apa hasil siasatan awal pada Februari? Ini penting supaya kita faham dan tindakan lanjut melalui penggubalan dasar dapat dilakukan.
“Muar tidak berminat berkenaan soal balas dendam, namun ingin tahu bagaimana kesilapan yang lepas tidak akan berulang lagi walaupun ke atas musuh politik paling teruk kita melalui penggubalan dasar,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Selasa lalu, Anwar dilaporkan memberi jaminan kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak terbabit dalam aktiviti mafia korporat.
Perdana Menteri turut memaklumkan laporan lengkap hasil siasatan berhubung kegiatan itu akan didedahkan kepada umum dalam tempoh tiga bulan, manakala Pasukan Petugas Khas diketuai Peguam Negara sudah ditubuhkan bagi menyelaraskan siasatan berkenaan.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut membangkitkan isu kewujudan mafia politik yang menurutnya jarang dibincangkan secara terbuka, namun tidak boleh dinafikan kewujudannya.
Beliau mendakwa amalan politik ugut-mengugut sudah berterusan sejak sekian lama khususnya membabitkan musuh politik setiap kali berlaku pertukaran kerajaan, tanpa mengira siapa yang menjadi Perdana Menteri.
“Apabila tidak ada sokongan, ada pihak akan diugut dan pihak diugut ini akan alih sokongan. Ini bukan trend politik baharu, ia berjalan berpuluhan tahun.
“Tukar kerajaan, fail (rekod kesalahan) yang sudah lama diperam dihidupkan semula, walaupun kes itu berlaku 10 hingga 20 tahun yang lalu untuk pastikan sokongan politik itu kukuh.
“Jika tidak ada siasatan telus, kerisauan saya, tukar satu kerajaan, tukar Perdana Menteri, mafia korporat dan politik ini akan berterusan dan budaya politik mengugut-ugut ini akan diteruskan tidak kira sesiapa pun yang memimpin negara,” katanya. – UTUSAN











