GERIK: Sepasang suami isteri maut manakala anak lelaki mereka parah selepas kereta dinaiki keluarga itu terbabit kemalangan dengan sebuah bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), selepas Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa, di sini hari ini.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Abd. Halim Bakar, 64, dan isterinya, Siti Sara Abd. Rahman, 58, manakala anak lelaki mereka, Mohamad Syazwan Hakimi, 28, mengalami kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Mohd. Rais Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.40 petang.
Katanya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah bas persiaran membawa 30 penumpang dan kereta jenis Perodua Alza dinaiki tiga beranak.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati ketiga-tiga mangsa yang menaiki kereta berkenaan tersepit di dalam kenderaan.
“Seorang lelaki berusia 64 tahun yang merupakan pemandu kereta dan seorang wanita berusia 58 tahun ditemukan sedarkan diri di tempat duduk penumpang hadapan.
“Seorang lagi lelaki berusia 28 tahun yang berada di tempat duduk penumpang belakang pula mengalami kecederaan parah,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam kejadian itu, pemandu bas persiaran bersama dua pembantu dan 30 penumpang bas terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang tersepit dalam kereta tersebut.
“Kedua-dua mangsa yang berada di tempat duduk hadapan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Anak lelaki pasangan itu yang cedera parah diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Gerik menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya.
Tambah beliau, operasi menyelamat melibatkan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dan BBP Jeli dengan bantuan enam anggota polis dan dua petugas KKM tamat pada pukul 3.30 petang. – UTUSAN











