GEORGE TOWN : Cadangan pembinaan jambatan bagi menggantikan terowong dasar laut di bawah projek Laluan Ketiga Pulau Pinang kini telah memasuki fasa kajian reka bentuk konsep.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, selain reka bentuk, kajian itu turut mengambil kira perancangan pembesaran Pelabuhan Pulau Pinang serta keperluan mengurangkan kesesakan trafik di kawasan Gurney Bay dan sekitarnya.
“Pada masa ini, kajian itu (reka bentuk konsep) sedang dilaksanakan dan hasilnya akan dibentangkan kepada SPPP (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang) untuk mendapatkan maklum balas serta pertimbangan lanjut,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Zairil (PH-Tanjung Bungah) berkata demikian ketika menjawab soalan Teh Lai Heng (PH-Komtar) berhubung status terkini tiga projek lebuh raya dan satu terowong dasar laut di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) sehingga September 2026.
Terdahulu, kerajaan negeri telah meluluskan kajian penjajaran semula laluan berkenaan dengan menggunakan konsep reka bentuk jambatan sebagai alternatif kepada cadangan terowong dasar laut sebelum ini.
Sementara itu, Zairil berkata, keempat-empat pakej projek tersebut kini berada pada peringkat pelaksanaan dan perancangan berbeza, dengan hanya Pakej 1 sedang dilaksanakan ketika ini.
“Bagi projek Jalan Berkembar Pantai Utara (NCPR) yang melibatkan laluan dari Tanjung Bungah hingga Teluk Bahang pula, kerajaan negeri sedang meneliti semula sebahagian jajaran bagi mengambil kira kesesuaian teknikal, sensitiviti kawasan setempat, kepadatan penduduk serta risiko hakisan tanah,” katanya.
Tambah beliau, pembinaan projek sepanjang 10.61 kilometer (km) yang menghubungkan antara Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang itu dijadual bermula tahun ini juga dan dijangka siap menjelang 2031 sekali gus memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua kawasan terutamanya pada waktu puncak.-UTUSAN











