Sukan Olimpik Remaja: Skuad bola tampar pantai wanita negara buru tiket suku akhir

Sukan Olimpik Remaja: Skuad bola tampar pantai wanita negara buru tiket suku akhir

AKSI pemain bola tampar wanita negara ketika berdepan Senegal di Sukan Olimpik Remaja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad bola tampar pantai wanita negara perlu memperkukuh mentaliti menjelang pertemuan dengan China dalam kelompok 16 terbaik Sukan Olimpik Remaja Dakar, malam ini.

Presiden Persatuan Bola Tampar Pantai Malaysia (MAVA), Hean Boon Yeow berkata, tiada kelemahan besar dari segi taktikal dikenal pasti, tetapi pemain perlu lebih tenang dan berani mengawal tekanan ketika perlawanan berlangsung.

Menurutnya, kelemahan dari segi mentaliti itu pernah ditunjukkan ketika saingan Sukan Asia di Aichi-Nagoya, September lalu, apabila skuad negara gagal mengekalkan kelebihan ketika berdepan Korea Selatan, meskipun sudah mendahului lawan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tiada kesilapan yang besar. Seperti yang saya katakan tadi, mentaliti pemain kita yang perlu ditingkatkan. Ketika menentang Korea Selatan di Sukan Asia, kita sudah mendahului tetapi gagal menamatkan perlawanan. Apabila sampai ke mata 14-12 pada set ketiga, kita masih tidak berjaya menghabiskannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Gandingan negara, Cadence Goh dan Ong Jing Yi memulakan saingan Kumpulan F dengan kekalahan tipis 1-2 kepada Republik Dominika menerusi pertarungan tiga set 18-21, 22-20, 16-18 pada 31 Oktober lalu.

Bagaimanapun, mereka bangkit pada hari berikutnya dengan menewaskan Cape Verde 2-0 (21-4, 21-9) sebelum mengatasi tuan rumah, Senegal 2-0 (21-15, 21-14) untuk muncul juara Kumpulan F.

Kejayaan itu membolehkan Malaysia mara ke pusingan 16 terbaik dan dijadualkan bertemu gandingan China, Zhuang Ming dan Qi Siyu dalam aksi kalah mati bsgi memburu tempat k suku akhir.

China yang menamatkan saingan Kumpulan A di tempat kedua turut hadir dengan reputasi sebagai antara pasukan pilihan kejohanan selepas menewaskan Paraguay 2-0 dalam perlawanan terakhir kumpulan.

Mengulas pertemuan dengan China, beliau mengakui lawan memiliki reputasi tersendiri selepas muncul juara dunia bawah 18 tahun, namun perkara itu tidak akan menghalang pemain negara daripada memberikan tentangan.

“China merupakan juara dunia bawah 18 tahun. Perlawanan ini memang satu cabaran besar, tetapi tidak mengapa, kita akan lakukan yang terbaik dan tidak takut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini