KUALA LUMPUR: Teknologi kecerdasan buatan (AI) bukan asas tunggal untuk menentukan pelepasan kargo kerana keputusan pemeriksaan masih tertakluk kepada prosedur keselamatan dan pengesahan petugas berkelayakan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, teknologi itu hendaklah dilihat sebagai alat sokongan kepada proses pemeriksaan keselamatan.
Katanya, keputusan pemeriksaan perlu dibuat berdasarkan keseluruhan proses kawalan keselamatan yang ditetapkan termasuk penilaian imej oleh pemeriksa keselamatan dan penggunaan kaedah pemeriksaan yang diluluskan.
“Teknologi AI hendaklah dilihat sebagai satu alat sokongan kepada proses pemeriksaan keselamatan dan bukan sebagai satu-satunya asas bagi keputusan pelepasan sesuatu kargo.
“Keputusan pemeriksaan dan tindakan susulan hendaklah kekal tertakluk kepada prosedur keselamatan yang diluluskan serta pengesahan oleh personel yang berkelayakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bebas-Kuala Kangsar) mengenai kemampuan pengimbas berasaskan AI di terminal kargo mengesan penyeludupan barangan berbahaya serta langkah memastikan keputusan sistem itu tidak menjadi satu-satunya asas pelepasan kargo.
Hasbi berkata, pemeriksaan lanjut perlu dilaksanakan terhadap imej atau kargo yang menghasilkan amaran, imej meragukan atau keadaan yang memerlukan pengesahan.
Katanya, kargo yang sudah menjalani pemeriksaan juga perlu dilindungi daripada gangguan tanpa kebenaran.
“Kawalan mutu, pemantauan prestasi peralatan dan penilaian risiko secara berterusan turut diperlukan bagi memastikan keberkesanan keseluruhan sistem keselamatan kargo.
“Bagi pengangkutan udara, peralatan keselamatan yang digunakan untuk pemeriksaan hendaklah mendapat kebenaran pihak berkuasa keselamatan,” katanya.
Menurut beliau, kargo dan mel yang hendak dibawa melalui udara pula perlu diperiksa oleh pemeriksa keselamatan yang diperakui.
“Di pelabuhan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyediakan prosedur pengendalian standard pengurusan mesin pengimbas sebagai panduan kepada pegawai.
“Panduan itu merangkumi langkah keselamatan, pengoperasian sistem, penyelenggaraan mesin, peralatan sokongan dan tatacara laporan,” katanya.
Hasbi berkata, langkah menangani risiko barangan berbahaya turut meliputi pencegahan penghantaran yang tidak diisytiharkan atau diisytiharkan secara tidak tepat.
“Pengeksport, pengimport dan pengendali kontena kargo pindah kapal diwajibkan membuat pengikraran kargo berbahaya kepada Pihak Berkuasa Pelabuhan Persekutuan sebelum pengendalian dibenarkan di pelabuhan,” katanya. – UTUSAN











