KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan sedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh daya saing Pangkalan Pembekalan Tok Bali (TBSB) termasuk menerusi cadangan pengerukan Muara Terusan Semerak dan permohonan status Zon Perdagangan Bebas (FSZ).
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerjasama kedua-dua pihak penting bagi memastikan usaha memperkasa TBSB dilaksanakan berlandaskan peruntukan undang-undang, tadbir urus teratur serta memberikan manfaat optimum kepada negeri dan rakyat.
Katanya, kerajaan negeri pada prinsipnya bersedia bekerjasama erat dengan Persekutuan termasuk dalam aspek penyediaan peruntukan, kepakaran teknikal dan kelulusan agensi berkaitan.
“Bagaimanapun, sebarang pelaksanaan hendaklah dibuat secara teratur dengan mematuhi sepenuhnya kerangka perundangan yang berkuat kuasa, bidang kuasa kerajaan negeri dan Persekutuan serta peraturan pihak berkuasa berkaitan,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Norsham Sulaiman (Pas-Semerak) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohamed Fadzli berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak mempunyai peruntukan khusus bagi melaksanakan kerja-kerja pengorekan sungai untuk tujuan laluan navigasi serta pendaratan bot nelayan di kawasan berkenaan berdasarkan skop peruntukan sedia ada.
Bagaimanapun, katanya, JPS bersedia membantu menyediakan kertas cadangan teknikal bagi kerja penyelenggaraan Muara Terusan Semerak melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) sebelum dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi untuk pertimbangan kelulusan.
“Peruntukan pengorekan yang diterima JPS tertumpu kepada kerja-kerja di muara sungai yang dikenal pasti mengalami kemerosotan kapasiti aliran dan berpotensi meningkatkan risiko banjir di kawasan sekitar. Bagaimanapun, jabatan ini mengambil maklum kepentingan penyelenggaraan Muara Terusan Semerak demi kelancaran operasi perikanan setempat,” katanya. – UTUSAN











