Selepas saksikan Siti Nurhaliza, Wani Kayrie impi single tradisional - Utusan Malaysia

Selepas saksikan Siti Nurhaliza, Wani Kayrie impi single tradisional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terinspirasi dengan kejayaan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi konsert Gema Bumantara, penyanyi, Wani Kayrie menyimpan hasrat untuk menghasilkan sebuah single berteraskan irama tradisional.

Wani atau Syazwani Abdullah, 26, berkata, memandangkan genre muziknya ketika ini lebih menjurus kepada pop etnik, dia berhasrat untuk turut memiliki sekurang-kurangnya sebuah lagu yang mengetengahkan muzik tradisional sepenuhnya.

“Jika diberikan lebih banyak rezeki, saya memang teringin menghasilkan lagu yang sepenuhnya berkonsepkan tradisional.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika ini, genre muzik saya lebih kepada pop etnik. Jadi, saya juga teringin mempunyai lagu yang benar-benar berunsurkan tradisional supaya apabila ada pihak meminta saya menyanyikan lagu tradisional, saya sudah mempunyai karya sendiri,” katanya.

Menurut Wani, hasrat untuk mendalami irama tradisional sebenarnya sudah lama tersemat dalam dirinya, malah Allahyarham komposer, Pak Ngah, pernah menawarkan diri untuk membimbingnya dalam bidang berkenaan.

Mengimbas kembali pertemuan dengan Allahyarham Pak Ngah, Wani berkata, peluang itu hadir ketika dia menyertai program D’Academy Asia (DAA) pada 2018, selepas menyertai pertandingan Big Stage.

“Dahulu, saya tidak menghasilkan lagu tradisional kerana merasakan diri kurang mahir menyanyikannya. Saya juga berasakan agak sukar untuk membawa lenggok lagu-lagu tradisional.

“Namun, ketika dijemput menyertai D’Academy Asia pada 2018, saya berpeluang bertemu dan berbual dengan Allahyarham Pak Ngah.

“Ketika itu, saya perlu menjalani uji bakat tertutup. Pak Ngah memberitahu, sekiranya saya berjaya melepasi uji bakat berkenaan, beliau sendiri akan mengajar saya menyanyi dangdut dan mempelajari lenggok Melayu.

“Bagaimanapun, tiada rezeki buat saya apabila Allahyarham pergi terlebih dahulu. Kata-kata itu masih terngiang-ngiang dalam fikiran saya sehingga hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Wani berkata, dia terbuka untuk menimba ilmu dan mempelajari selok-belok muzik tradisional bagi merealisasikan impiannya, meskipun menyedari perkara itu mungkin mengambil masa.

“Saya memang teringin menghasilkan album penuh berkonsepkan tradisional, tetapi saya perlu belajar lebih banyak lagi.

“Jadi, untuk menghasilkan lagu serta mengadakan konsert berteraskan irama tradisional, mungkin mengambil sedikit masa.

“Namun, seperti orang kata, berangan itu percuma. Saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk merealisasikan impian sendiri, selain memenuhi permintaan peminat di luar sana,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini