KUALA LUMPUR: Pemindahan keluar industri pembuatan kurang berteknologi tinggi secara menyeluruh bukan pendekatan yang dianggap sesuai oleh kerajaan dalam usaha mentransformasi sektor pembuatan negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan sebaliknya memberi tumpuan kepada transformasi dan penaiktarafan industri sedia ada secara progresif melalui penerapan teknologi, automasi dan pendigitalan.
Beliau berkata, pendekatan itu selaras dengan visi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk membangunkan sektor pembuatan yang lebih maju, berteknologi tinggi dan bernilai tambah tinggi menjelang 2030.
Katanya, kerajaan melalui MITI tidak menganggap pemindahan keluar industri pembuatan kurang berteknologi tinggi secara menyeluruh sebagai pendekatan yang sesuai.
“Sebaliknya, tumpuan diberikan kepada usaha transformasi dan penaiktarafan industri sedia ada secara progresif melalui penerapan teknologi, automasi dan pendigitalan selaras dengan visi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
“Pelan transformasi industri negara merangkumi peralihan kepada aktiviti bernilai tambah tinggi, penerapan teknologi termaju, pengeluaran lebih lestari serta pengukuhan rantaian bekalan domestik.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan transformasi industri negara dilaksanakan secara terancang dan bukan melalui pemindahan keluar industri secara menyeluruh berdasarkan tahap teknologi semata-mata,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai perancangan kerajaan untuk memindah keluar industri pembuatan yang kurang berorientasikan teknologi tinggi.
Hong Pin juga ingin mengetahui kriteria menentukan industri terlibat, jangka masa pelaksanaan serta langkah kerajaan memastikan ekosistem dan daya tahan rantaian bekalan negara tidak dilemahkan.
Johari berkata, tiga ciri aktiviti pembuatan yang menjadi sasaran transformasi adalah kebergantungan tinggi terhadap tenaga buruh kasar dan proses manual, tahap produktiviti serta nilai tambah rendah dan model operasi berintensifkan buruh berkemahiran rendah.
Katanya, kerajaan menyediakan pelbagai bentuk sokongan seperti geran, dana serta insentif cukai untuk menggalakkan penerapan teknologi pintar dan automasi bagi menyokong transformasi struktur industri secara progresif dan terancang.
“Pelbagai inisiatif strategik turut dilaksanakan di bawah NIMP 2030 khususnya Misi 4 yang menekankan keselamatan ekonomi dan keterangkuman bagi memastikan proses itu tidak menjejaskan ekosistem serta daya tahan rantaian bekalan negara.
“Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan kewangan bagi membantu syarikat tempatan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam mengadaptasi teknologi Industri 4.0,” katanya. – UTUSAN











