Jangan serah keselamatan jalan raya hanya kepada penguat kuasa - Utusan Malaysia

Jangan serah keselamatan jalan raya hanya kepada penguat kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha meningkatkan keselamatan jalan raya tidak boleh hanya bergantung kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi penguat kuasa, sebaliknya memerlukan komitmen serta tanggungjawab semua lapisan masyarakat.

Exco Skuad Sahabat JPJ Malaysia, Daniel Khoo Jian Woon berkata, setiap pengguna jalan raya perlu memainkan peranan dengan mengamalkan sikap berhemah, mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Katanya lagi, generasi muda khususnya perlu memupuk sikap pemanduan yang betul dan tidak menjadikan kelajuan atau tingkah laku berbahaya sebagai cara mencari keseronokan atau bermegah-megah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tidak boleh hanya meminta orang lain berhati-hati, kita sendiri mesti melakukannya dahulu. Hanya apabila kita bermula daripada diri sendiri, kemudian mempengaruhi orang di sekeliling, barulah budaya jalan raya yang lebih bertanggungjawab dapat dibina secara beransur-ansur,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Negeri Pahang berkata, pihaknya akan giat bekerjasama selaras dengan objektif Skuad Sahabat JPJ, di samping menyokong serta kempen dan pendidikan keselamatan jalan raya.

“Setiap pemanduan yang selamat adalah tanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Kami berharap setiap orang dapat keluar rumah dengan selamat dan pulang dengan selamat.”katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan takziah kepada personaliti media sosial pemilik kereta sport meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 29 Oktober lalu.

Katanya, sebelum keputusan siasatan kemalangan diumumkan, tiada pihak wajar membuat andaian mengenai punca kejadian, tingkah laku pemanduan atau tanggungjawab.

“Masyarakat perlu menghormati arwah, manakala siasatan kemalangan harus diserahkan kepada pihak berkuasa untuk dijalankan berdasarkan fakta dan bukti.

“Jalan raya bukan litar lumba. Sehebat mana pun prestasi sesebuah kenderaan, ia tidak boleh menggantikan kesedaran keselamatan dan rasa tanggungjawab yang perlu ada pada seorang pemandu. Pemandu yang benar-benar bertanggungjawab bukan sahaja pandai memandu, malah menghormati nyawa,” katanya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini