GEORGE TOWN : Penang FC terus dirundung malang apabila tewas 1-2 kepada Melaka FC dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Bandaraya, petang tadi.
Ini merupakan kekalahan ketiga berturut-turut skuad Harimau Kumbang dalam semua kejohanan musim ini termasuk ketika kecundang dengan agregat 3-11 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi timbal balik suku akhir Piala FA, September lalu.
Lebih malang, ini juga merupakan kali pertama anak-anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail tewas kepada Melaka FC selepas berjaya memenangi kesemua lima perlawanan terakhir menentang skuad Hang Tuah itu sebelum ini.
Terdahulu, dalam aksi di Stadium Bandaraya, tuan rumah bermula baik dan nyaris di depan seawal minit kedua menerusi sentuhan pemain tengah dari Serbia, Dejan Tumbas. Bagaimanapun, penjaga gol pelawat, Muhammad Firdaus Iman Mohd. Fadzil beraksi cemerlang apabila pantas menghalang percubaan berkenaan.
Tersentak dengan asakan itu, Melaka FC kembali memperkemaskan jentera serangan mereka. Namun, kegopohan dua tonggak serangan mereka iaitu Kpah Sherman dan Abdel Kader Coulibaly menyaksikan beberapa peluang yang terhidang disia-siakan begitu sahaja.
Ketika aksi separuh masa pertama hampir ditamatkan, tandukan penyerang, Celestine Enzo hampir berjaya meletakkan Penang FC di depan, tetapi, pengadil, Mohamad Nawal Mohamad Zubir bertindak membatalkan jaringan selepas Enzo terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Masuk babak kedua, Enzo sekali lagi beroleh peluang keemasan untuk membuka jaringan. Namun, rembatan kencangnya pada minit ke-50 sekadar menggegarkan tiang gol.
Gol yang dicari oleh tuan rumah bagaimanapun menjelma pada minit ke-62 selepas kapten, Stefano Brundo berjaya menyempurnakan sepakan penalti susulan kekasaran yang dilakukan oleh Kamal Ariff terhadap Enzo dalam kotak penalti.
Melaka FC bagaimanapun tidak berputus asa dan berjaya menyamakan kedudukan menjadi 1-1 hasil jaringan Dino Kalesic yang menerima umpanan Sherman.
Ketika aksi dilihat seakan berkesudahan dengan keputusan seri, pelawat dihadiahkan pula sepakan penalti oleh Mohamad Nawal susulan kekasaran yang dilakukan oleh pemain gantian, Suhaimi Abu terhadap Sherman.
Coulibaly yang diberi tanggungjawab untuk mengambil sepakan tersebut seterusnya berjaya menyempurnakan peluang itu dengan baik sekali gus memastikan anak-anak buah E. Elavarasan pulang ke Melaka dengan tiga mata berharga.-UTUSAN











