Bursa Malaysia berada di landasan capai sasaran IPO

Bursa Malaysia berada di landasan capai sasaran IPO

RHB Research mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham Bursa Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Bhd. berada pada landasan untuk mencapai sasaran permodalan pasaran tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM34 bilion bagi tahun kewangan 2026 , disokong momentum penyenaraian baharu yang memberangsangkan, menurut RHB Research.

Firma penyelidikan itu berkata, bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026,  sebanyak 47 IPO direkodkan, termasuk 11 penyenaraian baharu pada suku ketiga 2026 yang menyumbang RM28.7 bilion kepada permodalan pasaran setakat September lalu.

“Sasaran permodalan pasaran IPO itu dinaikkan kepada RM34 bilion daripada RM28 bilion pada suku kedua 2026, manakala pihak pengurusan Bursa Malaysia menyatakan saluran IPO kekal sihat menjelang 2027,” katanya dalam nota penyelidikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehubungan itu RHB Research mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham Bursa Malaysia dengan harga sasaran RM9.80 sesaham, menunjukkan potensi kenaikan sebanyak 23 peratus selain hasil dividen diunjur sebanyak empat peratus bagi tahun kewangan 2026.

Prospek bursa itu turut disokong aktiviti dagangan yang kukuh, selain beberapa pemangkin berpotensi termasuk peluasan indeks FBM KLCI, pelaksanaan Program MY Value Up dan peluang penyenaraian sekunder yang semakin berkembang.

Dari segi prestasi kewangan, Bursa Malaysia mencatatkan keuntungan bersih RM70.2 juta bagi suku ketiga 2026, meningkat 10 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, tetapi susut dua peratus berbanding suku sebelumnya.

“Keuntungan bersih terkumpul bagi sembila bulan pertama 2026 meningkat 13 peratus   kepada RM214.8 juta, bersamaan 76 peratus daripada unjuran setahun penuh penganalisis dan konsensus.

“Hasil operasi bagi sembilan bulan pertama 2026 berkembang 20 peratus tahun ke tahun, didorong peningkatan pendapatan dagangan sekuriti sebanyak 23 peratus susulan pertumbuhan purata nilai dagangan harian (SADV) sebanyak 27 peratus,” katanya.

Selain itu, hasil bukan dagangan turut meningkat 19 peratus tahun ke tahun, terutamanya disokong peningkatan yuran penyenaraian tahunan.

“Bagaimanapun, pertumbuhan hasil itu sebahagiannya diimbangi kenaikan perbelanjaan operasi sebanyak 23 peratus, terutamanya disebabkan pelaburan berkaitan tenaga kerja dan teknologi serta yuran kawal selia.

“Keadaan itu menyebabkan nisbah kos kepada pendapatan (CIR) meningkat kepada 54.4 peratus bagi sembilan bulan pertama 2026,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini