Amanah yakin PH mampu menang solo di Perak - Utusan Malaysia

Amanah yakin PH mampu menang solo di Perak

AHMAD Termizi Ramli (kanan) dan Ahmad Sabki Yusof (tengah) dalam sidang akhbar pada Konvensyen Amanah Negeri Perak di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pakatan Harapan (PH) berpotensi untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) di Perak sekalipun jika parti itu bertanding secara bersendirian tanpa kerjasama dengan parti lain.

Keyakinan itu disuarakan oleh Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Dr. Ahmad Termizi Ramli berdasarkan perkembangan politik semasa yang disifatkan memihak kepada PH.

Menurutnya, ini ditambah dengan kedudukan PH yang kini memiliki 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu 18 kerusi DAP, lima PKR dan satu Amanah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perak, InsyaAllah PH ‘alone’ boleh menang. Sebab kita ada DAP sudah ada 18 kerusi penyandang, PKR sudah ada lima, walaupun Amanah satu.

“Tetapi di tempat kedua (kerusi yang tewas dalam keputusan PRU15) ada lagi empat kerusi Amanah dan tiga kerusi PKR. Itu cukup untuk memerintah Negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Amanah Negeri Perak yang dirasmikan Pengarah Strategi Amanah, Ahmad Sabki Yusof, di sini hari ini.

Menurutnya, PH akan bertanding di semua 59 kerusi di Perak dan parti sudah bersedia di kawasan masing-masing yang mungkin ada sedikit rundingan namun tiada masalah kerana semua parti dalam PH bekerjasama rapat.

“Cuma mungkin ada satu atau dua kerusi yang akan dikosongkan seperti dilakukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi memberi ruang kepada parti lain supaya mereka tidak menjadi musuh kita.

“Kita mahu meramaikan penyertaan, bukan bermakna kita bersama mereka, tetapi mahu mereka turut memberi ruang. Jika ada parti seperti Pejuang dan Bersatu yang mahu bertanding, kita bersedia memberi laluan di kawasan tertentu, namun itu tidak bermakna kita bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Sabki berkata, Amanah sedang merangka persiapan menghadapi PRU16 dengan mengambil kira kemungkinan PH bergerak sebagai gabungan politik secara bersendirian.

“Soal sama ada akan berlaku kerjasama dengan parti lain pada masa depan bergantung kepada perkembangan semasa dari semasa ke semasa.

“Amanah perlu mempersiapkan diri sebagai sebuah gabungan PH,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini