PUTRAJAYA: Seorang lelaki berusia 42 tahun meninggal dunia selepas pengsan ketika menyertai acara larian Garmin Run di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya.
Beliau berkata, sebelum itu, mangsa dikejarkan menggunakan ambulans swasta ke Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya kira-kira pukul 6.52 pagi selepas pengsan ketika menyertai acara itu.
“Mangsa diberikan rawatan resusitasi oleh pihak hospital, namun usaha menyelamatkannya gagal sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 6.54 pagi.
“Hasil semakan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, bedah siasat dijadualkan dijalankan pada pukul 1 tengah hari ini di Hospital Putrajaya bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Aidi Sham berkata, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Sebelum ini, tular di laman sosial, ‘threads’ berhubung kejadian itu yang dikongsi oleh beberapa peserta larian sama yang terserempak dengan kejadian itu di kilometer (KM) 19. – UTUSAN










