Anwar mahu pelajar pondok 'masuk' universiti - Utusan Malaysia

Anwar mahu pelajar pondok ‘masuk’ universiti

ANWAR Ibrahim (kiri) beramah mesra dengan warga Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas, Kelantan sebentar tadi.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS:Kerajaan sedang meneliti usaha mewujudkan laluan pendidikan baharu bagi membolehkan pelajar pondok melanjutkan pengajian hingga ke peringkat universiti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu bertujuan memperkasa institusi pendidikan pondok menerusi penambahbaikan sistem sedia ada tanpa menghilangkan asas keilmuan Islam yang diwarisi sejak turun-temurun.

Katanya, cadangan berkenaan termasuk menyesuaikan sistem pengajian pondok supaya mempunyai laluan tersusun ke peringkat pendidikan tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apakah tidak mungkin kita ikhtiar mencari satu jalur baharu, iaitu daripada pondok ini kita ubah suai dan perbaiki mana-mana yang perlu, tetapi sistem itu dapat berkembang hingga ke peringkat tertinggi universiti.

“Ini yang sekarang ini Syeikh Luqman antara pihak yang menyumbang atau ditugaskan untuk merumuskan kepada kerajaan bagaimana perkara ini boleh dilaksanakan secara berperingkat,” katanya semasa berucap selepas menunaikan solat maghrib di Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubok Tapah di sini sebentar tadi.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa beramah mesra dengan warga pusat pengajian berkenaan.

Anwar menegaskan kepentingan mengembalikan khazanah keilmuan Islam atau turath yang diwarisi daripada ulama terdahulu supaya tidak tenggelam akibat kecenderungan memberikan tumpuan kepada pemikiran dan tafsiran semasa semata-mata.

Katanya, warisan keilmuan Islam yang berkembang sejak ratusan tahun lalu, termasuk hasil pemikiran tokoh seperti Syeikh Daud al-Fatani dan Imam al-Ghazali, perlu terus dipelajari serta dimanfaatkan.

Ujarnya, institusi pondok dan pesantren pernah menjadi benteng mempertahankan akidah, akhlak, nilai serta jati diri umat Islam ketika negara berdepan penjajahan yang turut menguasai pemikiran dan budaya masyarakat.

Sehubungan itu, beliau mahu institusi pondok dan surau terus dibantu serta diberikan ruang untuk berkembang supaya khazanah ilmu Islam dapat diwariskan kepada generasi akan datang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini