Format 15 mata pemain perlu berani buat serangan

Format 15 mata pemain perlu berani buat serangan

Razif Sidek
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perlu mengutamakan permainan menyerang dan tidak perlu terlalu bergantung kepada pertahanan apabila sistem kiraan 15 mata badminton dikuatkuasakan mulai Januari tahun depan.

Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek berkata, pemain perlu lebih aktif di bahagian depan dan tengah gelanggang dengan mengutamakan serangan.

“Pertama sekali, kita perlu lebih aktif di bahagian depan dan tengah gelanggang dan perlu berhati-hati ketika melakukan serangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau kita bertahan pun susah juga dan berapa lama kita boleh bertahan kerana mata itu terlalu singkat.

“Jadi, dari segi taktikal dan strategi kita kena lebih menyerang, kurangkan kesilapan dan kurangkan permainan bertahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sistem kiraan 3×15 yang diperkenalkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (WBF) bakal menggantikan format 21 mata bermula 4 Januari 2027, dengan setiap pemenang dimenangi pemain atau pasangan yang terlebih dahulu mencapai 15 mata.

Dengan menggunakan format tiga set terbaik, pemain atau pasangan yang memenangi dua set terlebih dahulu dikira sebagai pemenang.

Mata bagi setiap set dimainkan sehingga kiraan 15 menggunakan sistem kiraan mata rali dan setiap rali yang dimenangi akan menghasilkan satu mata.

Jika kedudukan kedudukan terikat 14-14, pemain atau pasangan perlu mendahului dengan kelebihan dua mata untuk memenangi set.

Had maksimum ditetapkan pada 21 mata dan jika kedudukan terikat 20-20, mata berikutnya akan menentukan pemenang set.

Dalam pada itu Razif berkata, sistem kiraan 15 mata itu turut memberi kelebihan kepada pemain beregu yang mempunyai kekuatan dari segi serangan, pertahanan dan kawalan di bahagian depan gelanggang.

“Beregu mempunyai kelebihan jika pasangan itu mempunyai penyerang dan pemain pertahanan yang baik dengan pemain di bahagian depan yang mampu mengawal permainan,” katanya.

Justeru, tambahnya, sistem kiraan 15 mata tidak sepatutnya menjadi halangan kepada pemain kerana format ini menjadikan perlawanan lebih singkat berbanding format sebelumnya.

“Pemain perlu menyesuaikan diri dengan format baharu ini kerana tempoh perlawanan dijangka lebih singkat, iaitu sekitar 15 minit berbanding 20 minit bagi sistem 21 mata sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini