GEORGE TOWN: Semua pembangunan di lereng bukit berisiko perlu dihentikan segera bagi mengelakkan tragedi tanah runtuh berulang, susulan beberapa kejadian yang mengorbankan nyawa di Pulau Pinang.
Kerajaan negeri perlu menjelaskan bagaimana pembangunan di kawasan cerun berisiko masih boleh diluluskan walaupun negeri itu pernah berdepan tragedi tanah runtuh.
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), R. Meenakshi berkata, kejadian di tapak pembinaan kondominium di Tanjung Bungah pada 2017 yang mengorbankan 11 nyawa sepatutnya menjadi pengajaran untuk memperketat kawalan pembangunan di lereng bukit.
“Pulau Pinang sudah beberapa kali berdepan kejadian tanah runtuh dan negeri ini sememangnya terdedah kepada risiko kegagalan cerun.
“Perubahan iklim yang menyebabkan hujan semakin lebat dan kerap turut meningkatkan risiko tanah runtuh sekali gus mengancam keselamatan orang ramai,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Beliau bersama 12 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang mengadakan himpunan bagi menggesa siasatan terhadap tragedi tanah runtuh berhampiran Taman Seri Rambai, Paya Terubong, bulan lalu.
Meenakshi berkata, gabungan NGO berkaitan alam sekitar dan pengguna turut mendesak kerajaan negeri menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Negeri (SCI) bagi mengenal pasti punca kejadian serta kelemahan penguatkuasaan.
Katanya, siasatan terbuka perlu meneliti proses kelulusan pembangunan, tindakan pemantauan pihak berkuasa dan kemungkinan berlaku kecuaian sehingga tragedi berkenaan.
Beliau berkata, imej satelit dari 2018 hingga kini menunjukkan kerja penyimenan dilakukan beberapa kali di kawasan cerun berkenaan.
“Penubuhan SCI yang telus dan terbuka penting bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab serta memastikan tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang,” katanya.
SAM turut membantah cadangan Draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 yang membenarkan pembangunan di kawasan bukit melebihi ketinggian 76 meter atau mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah. – UTUSAN










