Barli bantu hasilkan daging tanpa menternak haiwan

Barli bantu hasilkan daging tanpa menternak haiwan

DAGING yang dihasilkan di makmal berpotensi menghasilkan produk yang boleh dinikmati oleh golongan vegan. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUAH syarikat bioteknologi di Iceland menggunakan tanaman barli untuk menghasilkan daging tanpa perlu menternak haiwan, manakala Kanada memainkan peranan dalam strategi pengeluaran dan pembangunan syarikat itu.

ORF Genetics menggunakan tanaman barli yang diubah suai secara genetik untuk menghasilkan protein khusus yang dikenali sebagai protein penggalak pertumbuhan.

Protein ini merupakan bahan penting dalam penghasilan daging kultur, yang membolehkan sel haiwan membesar dan membiak bagi mengeluarkan daging tanpa perlu menternak serta menyembelih haiwan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika permintaan global terhadap protein meningkat dan tekanan semakin bertambah untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada sektor pertanian, khususnya penternakan, kos penghasilan bahan tersebut kekal sebagai antara halangan terbesar dalam pengeluaran daging kultur pada skala komersial.

Daripada menggunakan barli sebagai makanan ternakan, ORF Genetics memanfaatkan tanaman tersebut yang direka bentuk melalui kejuruteraan biologi untuk menghasilkan bahan penggalak unik bagi membolehkan sel daging lembu, babi dan ayam membesar.

“Loji penghasilan protein kami hanyalah biji barli, yang merupakan loji pengeluaran berkos rendah dan boleh ditingkatkan skalanya dengan mudah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ORF Genetics, Berglind Rán Ólafsdóttir ketika melawat kemudahan syarikat itu sempena Minggu Inovasi Iceland pada awal musim bunga tahun ini.

Ditubuhkan pada 2001 oleh tiga saintis, termasuk Ketua Pegawai Saintifiknya, Björn Örvar, ORF Genetics pada mulanya memberi tumpuan kepada penghasilan faktor pertumbuhan manusia untuk penyelidikan sel stem.

Syarikat itu kemudian mengembangkan perniagaannya kepada produk penjagaan kulit sebelum melancarkan rangkaian protein penggalak haiwan khusus untuk industri daging kultur pada 2019.
Örvar berkata, antara 10 hingga 15 jenis bahan penggalak diperlukan untuk membiakkan sel daging, bergantung pada spesies haiwan. Dalam teknologi ORF Genetics, biji barli berfungsi sebagai sistem pengeluaran protein berkenaan.

Menurut syarikat itu, kaedah tersebut membolehkan pengeluaran dilakukan pada kos rendah dan skala besar, sekali gus berpotensi mengurangkan antara komponen kos terbesar dalam penghasilan daging kultur.

“Pada peringkat awal, cabaran utama adalah kos. Kami tahu kos itu perlu dikurangkan antara 500 hingga 1,000 kali ganda jika daging kultur mahu dihasilkan secara komersial dengan berdaya maju,” kata Örvar.

Barli dipilih atas beberapa sebab. Antaranya, tanaman itu melakukan pendebungaan sendiri, sekali gus mengurangkan risiko pendebungaan silang dengan tanaman berdekatan.

Ciri itu juga membantu memenuhi keperluan kawal selia bagi penanaman tanaman yang diubah suai secara genetik.

Berbanding kebanyakan tanaman lain, barli tumbuh dengan baik dalam musim penanaman yang singkat di Iceland, sebuah negara di utara Eropah.
Iceland juga mempunyai sumber tenaga geoterma yang banyak untuk membekalkan haba, elektrik dan pencahayaan pada kos rendah bagi pengeluaran di rumah hijau.

Kanada menjadi sebahagian penting dalam strategi pengeluaran syarikat itu. ORF Genetics menjalankan percubaan penanaman barli yang diubah suai secara genetik di kawasan terkawal di

Kanada sejak 2013, berdasarkan permit yang dikeluarkan Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada.

Percubaan itu membolehkan penyelidik menilai hasil tanaman dan pengeluaran protein dalam keadaan penanaman sebenar, dengan memastikan tanaman berkenaan kekal dalam kawasan terkawal.

Penanaman barli di kawasan terbuka tidak memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi dan dapat mengurangkan kos pengeluaran dengan ketara berbanding penanaman di dalam bangunan.
Örvar dan Ólafsdóttir percaya syarikat itu akhirnya mampu menghasilkan protein penggalak dalam kuantiti besar menggunakan kawasan tanah yang agak kecil.

Walaupun daging kultur mendapat perhatian meluas sejak sedekad lalu, kelulusan kawal selia untuk produk berkenaan masih terhad di seluruh dunia, manakala proses pengkomersialannya bergerak lebih perlahan berbanding jangkaan penyokong awal teknologi itu.

Setakat ini, hanya Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Israel meluluskan penjualan komersial serta penggunaan daging kultur oleh manusia.

Pada masa sama, minat pelabur terhadap sektor itu semakin merosot. Ólafsdóttir berkata, sebahagian besar modal pelaburan pada masa ini disalurkan kepada sektor lain seperti kecerdasan buatan (AI) dan pertahanan.

Selain terus menyokong syarikat pembangunan daging kultur di seluruh dunia, ORF Genetics turut menumpukan perniagaannya kepada pembekalan bahan penggalak untuk penyelidikan sel stem dan aplikasi perubatan kepada pelanggan di Eropah, Asia, Australia dan Amerika Utara.

Örvar pula berkata, teknologi itu bukan bertujuan menggantikan pengeluaran daging secara tradisional.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini