KLANG: Pakar perubatan avian dalam bidang veterinar, Prof. Emeritus Datuk Dr. Aini Ideris dinobat sebagai Tokoh Akademik Negara Ke-17 atas sumbangan beliau penyelidikan berkaitan penyakit unggas.
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) kelapan itu memberi sumbangan penting dalam pembangunan dan pengkomersialan vaksin penyakit Newcastle (NDV4UPM) yang tahan haba, vaksin cacar unggas, vaksin penyakit bursa berjangkit, serta vaksin penyakit Newcastle yang berasaskan teknologi reverse genetics.
Dr. Aini, 73, berkata, sebanyak lima vaksin dibangunkan yang mana dua daripadanya beliau berperanan sebagai penyelidik utama sementara tiga lagi sebagai penyelidik bersama dan kesemuanya itu kemudian menembusi pasaran di lebih 20 negara termasuk Rusia.
“Anugerah Tokoh Akademik Negara yang saya terima merupakan yang tertinggi bagi seorang ahli akademik. Saya perlu berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, para pendidik yang bersama, mahasiswa-mahasiswa dan kolaborator dari dalam dan luar negara.
“Pencapaian yang saya terima banyak berkaitan pembangunan vaksin untuk unggas. Saya juga terus menyumbang melalui penulisan dan juga penerbitan ilmiah dan sepanjang kerjaya saya menghasilkan lebih daripada 270 penerbitan jurnal dan lebih 400 prosiding,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Akademik Negara Kali Ke-17 (AAN17) di sini, malam tadi.
Malah, beliau turut mencipta sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Naib Canselor UPM bagi tempoh 2016 hingga 2020, selain menerima Anugerah Akademik Negara 2010 bagi Kategori Inovasi dan Pengkomersialan Produk serta Merdeka Award 2026 bagi kategori Sumbangan Cemerlang kepada Sains, Teknologi dan Inovasi.
Selain itu, Dr. Aini juga turut menjadi wanita pertama dari Asia dan dalam kalangan negara ASEAN sebagai Naib Presiden untuk World Veterinary Poultry Association.
Terdahulu beliau menerima Anugerah Tokoh Akademik Negara Ke-17 daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan turut membawa pulang sebuah trofi dan sejil serta wang tunai berjumlah RM200,000.
Bagi kategori Anugerah Ahli Akademik Harapan, pengiktirafan diberikan kepada Prof. Dr. Ong Wee Jun dari Universiti Xiamen Malaysia (XMUM) dan Prof. Madya Dr. Serene Lock Sow Mun dari Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Enam kategori anugerah lain masing-masing dimenangi oleh Prof. Madya Dr. Mohd Khairi Abu Husain dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk; Dr. Siti Noor Hafizah Mohamed Sharif dari Universiti Sains Malaysia (USM) bagi Anugerah Penerbitan Buku dan Prof. Madya Dr. Saipolbarin Ramli dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi Anugerah Pengajaran (Sastera dan Sains Sosial).
Penerima lain ialah Prof. Madya Dr. Jayanthi Arasan dari UPM bagi Anugerah Pengajaran (Sains Tulen); Dr. Ooi Say Keat dari USM bagi Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Sains Sosial dan Sastera) serta Prof. Ir. Dr. Yong Wai Fen dari XMUM bagi Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Sains).
Selain Tokoh Akademik Negara, penerima kategori lain menerima wang tunai RM50,000, sementara penerima Anugerah Ahli Akademik Harapan menerima wang tunai RM25,000, kesemua pemenang turut menerima trofi dan sijil. – UTUSAN











