Tiga penjuru beri kelebihan kepada BN

Tiga penjuru beri kelebihan kepada BN

SEORANG petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persiapan akhir menjelang proses penamaan calon PRN Melaka Ke-16 di Pusat Penamaan Calon N21 Duyong, Dewan Kompleks Japerun Duyong, Melaka semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berpotensi memecahkan undi, sekali gus memberi ruang kepada BN meraih kelebihan di kerusi marginal.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, keadaan itu boleh berlaku sekiranya PH dan Bersatu merebut sokongan daripada kelompok pengundi yang sama.

Menurutnya, persaingan antara kedua-dua parti itu berpotensi menguntungkan BN, terutama di kawasan yang mempunyai majoriti tipis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, katanya, Bersatu juga berpeluang menarik sebahagian undi penyokong BN atau Perikatan Nasional (PN), sekali gus mempengaruhi keputusan pertandingan.

“Sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru antara BN, PH dan Bersatu, perpecahan undi antara PH dengan Bersatu boleh memberikan kelebihan kepada BN, khususnya jika kedua-duanya bersaing mendapatkan sokongan kelompok pengundi yang sama.

“Bagaimanapun, Bersatu juga berpotensi menarik sebahagian undi penyokong BN atau PN. Oleh itu, kesannya bergantung kepada arah peralihan undi, kekuatan calon dan penerimaan pengundi, terutama di kerusi yang mempunyai majoriti tipis,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berdasarkan pengumuman setakat ini, PRN Melaka dijangka menyaksikan pertembungan empat penjuru di Klebang, Gadek dan Pengkalan Batu antara BN, PH, Bersatu serta Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Ayer Keroh pula dijangka menyaksikan persaingan antara PH, PN, Bersatu dan Bersama, manakala Bemban membabitkan pertembungan tiga penjuru antara PN, Bersatu dan Bersama.

PRN Melaka Ke-16 dijadualkan berlangsung pada 14 November ini bagi memilih wakil rakyat di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta menentukan pembentukan kerajaan negeri baharu.

Seramai 687,697 pemilih layak mengundi pada pilihan raya kali ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 10 November.

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata, pertandingan tiga penjuru boleh menyebabkan undi berpecah antara calon, sekali gus membolehkan seseorang calon menang dengan jumlah undi terbanyak walaupun tidak memperoleh majoriti melebihi 50 peratus.

Katanya, dalam pertandingan satu lawan satu, parti-parti yang bekerjasama pula boleh menumpukan sokongan kepada seorang calon.

Bagaimanapun, beliau berkata, persetujuan antara pemimpin parti untuk menyokong seseorang calon tidak semestinya diikuti penyokong masing-masing kerana mereka tetap menilai calon berkenaan serta kerjasama yang dijalin sebelum membuat pilihan.

“Pertandingan satu lawan satu memberi ruang kepada kedua-dua pihak menumpukan jentera dan sokongan pengundi kepada calon masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini