PETALING JAYA: Kesediaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memeterai Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) dengan Kerajaan Persekutuan mencerminkan keterbukaan Kerajaan Madani dalam membina kerjasama politik demi kepentingan rakyat.
Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran berkata, tawaran CSA kepada parti-parti pembangkang bukan perkara baharu, sebaliknya keterbukaan yang ditunjukkan Perdana Menteri sejak awal pentadbiran Kerajaan Madani.
Bagaimanapun katanya, selepas hampir empat tahun, hanya kini sebuah parti pembangkang iaitu Bersatu tampil menyatakan kesediaan untuk memeterai perjanjian berkenaan.
“Perkembangan itu perlu dilihat dalam konteks kepentingan rakyat, kestabilan politik dan kelangsungan pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Yuneswaran, kestabilan politik merupakan antara prasyarat penting bagi memastikan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta manfaatnya dirasai rakyat ketika negara berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan tuntutan pembangunan.
Katanya, tumpuan kini perlu diberikan kepada pembangunan negara, memperkukuh pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan, meningkatkan peluang pekerjaan serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama dalam perkara yang membawa manfaat kepada negara dan rakyat.
“Rakyat tidak menilai pemimpin berdasarkan sejauh mana mereka berpolitik, sebaliknya berdasarkan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat dan membawa negara ke arah masa depan lebih baik.
“Tanggungjawab mentadbir negara serta memenuhi harapan rakyat perlu sentiasa menjadi keutamaan, bukannya terus terperangkap dalam polemik dan persaingan politik,” katanya. – UTUSAN











