KYIV: Ukraine menghentikan sementara serangan terhadap kilang penapisan minyak Russia selepas beberapa minggu berdepan tekanan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, lapor The Wall Street Journal (WSJ) yang memetik sumber yang mengetahui operasi berkenaan.
Penghentian serangan secara tidak rasmi itu bermula awal minggu lalu dan dijangka berterusan sehingga selepas pilihan raya pertengahan penggal AS, malah berkemungkinan dilanjutkan hingga November, menurut laporan itu.
Dua pegawai tentera memberitahu WSJ bahawa unit Ukraine yang terlibat dalam serangan jarak jauh dimaklumkan pada pertengahan Oktober bahawa operasi menyasarkan kilang penapisan minyak pada dasarnya ditangguhkan sebaik sahaja misi yang sedang dijalankan selesai.
Ukraine tidak mengumumkan secara terbuka mengenai penghentian serangan itu.
Presiden Volodymyr Zelensky pada Selasa berkata, tentera Ukraine cuba bertindak dengan lebih berhati-hati sejak beberapa hari kebelakangan ini, tetapi tidak menerima arahan melarang serangan terhadap kilang penapisan minyak.
“Anggota kita cuba bertindak dengan lebih berhati-hati sejak beberapa hari ini. Namun, mereka tidak menerima arahan supaya tidak menyerang kilang penapisan minyak, kata Zelenskyy kepada pemberita di Kyiv.
Beliau berkata, unit dron Ukraine masih meneruskan serangan terhadap sasaran lain di dalam wilayah Russia.
Trump berulang kali menggesa Zelensky supaya menghentikan serangan terhadap kilang penapisan minyak Russia dengan alasan serangan itu menyumbang kepada kenaikan harga bahan api global.
Akhbar WSJ melaporkan, utusan AS, Jared Kushner mengulangi desakan itu ketika pertemuan dengan Zelensky di Oslo pada 20 Oktober lalu.
Seorang pegawai AS menyifatkan perbincangan itu sebagai sangat tegang.
Menurut laporan itu, Kushner yang menyertai pertemuan secara maya kerana masalah kesihatan memberitahu Zelensky bahawa beliau dan utusan AS, Steve Witkoff meluangkan banyak masa dan sumber untuk menjadi pengantara rundingan dengan Moscow.
Beliau berkata, penghentian serangan terhadap kilang penapisan minyak selama 30 hari akan menunjukkan penghargaan Ukraine terhadap usaha berkenaan.
Sehari selepas pertemuan di Oslo itu, Trump menghubungi bilionair dan sekutunya, Elon Musk dan meminta beliau memulihkan perkhidmatan satelit Starlink di Ukraine.
Pegawai AS berkata, pemulihan perkhidmatan Starlink dan serangan Ukraine terhadap kilang penapisan minyak Russia tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Pegawai Eropah dan Ukraine memberikan gambaran yang lebih berbeza dengan beberapa sekutu Eropah bagi menasihati Zelensky supaya mengambil kira sensitiviti politik berhubung harga tenaga menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS.
Beberapa pegawai Eropah turut bimbang dengan pertukaran kenyataan yang semakin tegang antara Trump dan Zelensky serta gangguan perkhidmatan Starlink, selain menggalakkan Kyiv menghentikan sementara serangan terhadap kilang penapisan minyak sehingga selepas pilihan raya itu, menurut WSJ. – AGENSI











