Digger: orang bodoh mencipta neraka - Utusan Malaysia

Digger: orang bodoh mencipta neraka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA artikel ini ditulis, dunia sudah pun merasai impak ‘derhaka’ apabila kita gagal patuh kepada had pelepasan jejak karbon di bawah 1.5 darjah celcius seperti dalam Perjanjian Iklim Paris.

Kepanasan dunia, bencana alam akan makin mengerikan sekiranya kita masih ingkar menjaga suhu bumi di bawah 2.8 darjah celcius menjelang 2100.
Sampai mati kita harus menjawab segala dosa-dosa seandainya generasi akan datang mempersoalkan mengapa kita mendiamkan sistem yang menyebabkan dunia mereka tinggal menjadi malapetaka.

Digger membawa keresahan itu di layar, Alejandro González Iñárritu seperti filem lainnya cuba menggagaskan sesuatu yang kebetulan muncul ketika Asia Tenggara sedang bergelut dengan masalah jerebu selama berbulan-bulan, mengakibatkan maut, membuat ribuan menghidap sakit pernafasan kekal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pembakaran terbuka ini dikatakan didalangi syarikat-syarikat besar. Bagaimanapun, sepanjang 2 jam 8 minit tayangan, saya seperti dapat menduga bahawa filem yang menceritakan seorang hartawan ‘Digger’, pewaris syarikat gerudi minyak yang sudah semestinya paling kaya, berpengaruh dan berkuasa di dunia menjadikan Trump sebagai rujukannya.

Dalam filem ini, Digger, mengabaikan amaran saintis bahawa aktiviti penggalian di Greenland akan mengakibatkan kebocoran gas metana. Bagaimanapun, ketamakan Digger yang bodoh menjadikan malapetaka tidak hanya menyebabkan pekerjanya di Greenland mati akibat letupan.

Tetapi sebongkah ais bersaiz lima kali ganda Washington DC akan menghentam daratan; menciptakan tsunami merisikokan jutaan nyawa rakyat Eropah.

Bagaimanapun, sedikit rasa bersalah tidak terbit di wajah Digger sebaliknya satu sesi mesyuarat diadakan untuk membina narasi bagaimana dia dan presiden Amerika Syarikat boleh dianggap sebagai hero dalam bencana yang diciptakan sendiri oleh mereka.

Digger, saya percaya dibikin atas kebencian pembikinnya hadap polisi yang dibuat Trump terhadap alam sekitar. Terutama dalam babak semasa parlimen Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu, ketika Digger menuduh masyarakat dunia hanyalah hipokrit, mahu membela alam namun mengapa permintaan terhadap gas dan energi semakin berkuasa.

Katanya, kerana permintaan begitu tinggi membuatkan menggali lebih banyak dari sepatutnya. Lelaki itu mula membawa narasi dan segala propaganda untuk melepaskan dirinya dari telunjuk sesiapa.

Situasi itu mengingatkan saya kepada Trump apalagi apabila dia pernah secara terbuka berkata bahawa krisis iklim yang dikatakan para saintis hanya sebuah penipuan.

Ucapan itu masih ada di Youtube jika mahu disemak berbunyi ‘This climate change, it’s the greatest con job ever perpetrated on the world in my opinion’, bermaksud, ‘perubahan iklim ini, pada pendapat saya, adalah penipuan terbesar yang pernah ada atas dunia’. Kenyataan itu dikongsikan secara lantang di hadapan pemimpin dunia.

Ia diperkuatkan lagi dengan tindakan presiden itu yang membatalkan pembiayaan Kad Laporan Artic iaitu kajian alam sekitar terhadap perubahan iklim di atlantik, terpenting dengan kajian 100 saintis. Jika tiada data dikongsikan, maka tiada juga maklumat terkini untuk kita gubal dasar yang membela iklim dunia.

Dalam situasi yang lebih membahayakan, ketiadaan data juga membuatkan lebih mudah kerajaan mahu luluskan projek perindustrian baik itu gali telaga minyak, atau bina jalan berais tanpa perlu berhadapan dengan isu-isu melibatkan alam sekitar. Untung terus masuk poket kapitalis, tapi bencana alam ditanggung bergenerasi lamanya.

Digger membawa kita bermuhasabah dalam satiranya sekali gus meninggalkan peringatan bahawa sentiasa meletakkan kewarasan dalam memilih pemimpin yang bukan seperti Digger; asyik mengulang cerita ‘kepahlawanan’ keluarga. Katanya, mereka dahulu pelombong miskin dengan penyodok cari gali hingga kini bergelar terkaya di dunia. Sumpah, ia jelik dan membosankan.

Bagaimanapun, mungkin satu-satunya yang saya fikir gagal Digger berikan dalam filem ini adalah tentang titik tengah ke mana kita harus mengemudi isu sepenting ini. Atau mungkin itulah niat Digger, sekadar mempertanyakan tapi tidak mahu benar-benar memberikan cadangan. Jika begitu, ia filem yang menarik cuma ideanya tetap hanya ceramah yang membosankan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini