SETIAP tahun pada 1 November (esok), dunia merayakan Hari Ekologi Sedunia.
Tahun ini, sambutan hadir pada saat amat kritikal. Di sebalik kerancakan pemulihan ekonomi pasca pandemik, bumi sedang menghantar isyarat kecemasan melalui krisis ekologi yang semakin meruncing.
Berbeza dengan Hari Alam Sekitar yang menekankan kawalan pencemaran, Hari Ekologi Sedunia memberi fokus kepada keseimbangan rantaian hayat dan interaksi dinamik dalam keseluruhan ekosistem bumi.
Matlamat utama sambutan ini adalah meningkatkan kesedaran sains ekologi dalam kalangan masyarakat, di samping mendesak komitmen global untuk menangani krisis ekologi.
Tema tahun ini, “Pemulihan Keseimbangan Ekosistem dan Kerjasama Komuniti”, menekankan usaha kolektif melalui forum akademik, kempen penanaman pokok spesies asli, bengkel pemuliharaan tanah lembap serta program komuniti akar umbi bagi menyemai tanggungjawab bersama.
Sejarah moden manusia sarat dengan krisis ekologi yang meninggalkan kesan mendalam pada sistem bio-fizikal bumi.
Fenomena jerebu merentas sempadan akibat pembakaran hutan terbuka berskala besar bukan sahaja merosakkan kualiti udara, malah menjejaskan biosfera, mengganggu fotosintesis tumbuhan serta mengancam kesihatan hidupan liar.
Di peringkat global, peristiwa Peperangan Teluk pada awal 1990-an menjadi contoh kemusnahan ekosistem.
Jutaan tong minyak mentah yang dialirkan ke Teluk Parsi memusnahkan ekosistem marin, manakala asap hitam pekat dari telaga minyak terbakar mengubah iklim mikro wilayah tersebut serta meracuni rantaian makanan hidupan liar secara kekal turut mengganggu kelestarian burung hijrah dan populasi penyu di perairan teluk.
KEMUSNAHAN HABITAT ANCAM RANTAIAN KEHIDUPAN
Di Malaysia, hakisan pantai kini menjadi ancaman nyata akibat perubahan iklim dan kenaikan aras laut. Hakisan ini bukan sahaja mengancam penempatan manusia, malah meranapkan zon penahan semula jadi negara.
Malaysia merupakan hentian transit penting dalam Laluan Migrasi Asia Timur-Australasia (EAAF). Ribuan burung hijrah singgah di pesisir pantai negara setiap tahun untuk berehat dan mencari makanan sebelum meneruskan perjalanan jauh.
Namun, kehilangan habitat akibat aktiviti manusia dan hakisan pantai menyebabkan burung-burung ini tiada tempat singgah.
Pencemaran di kawasan berlumpur akibat sisa plastik dan toksik menambah beban. Burung gagal mendapatkan nutrisi mencukupi, melemahkan antibodi dan menjejaskan kelangsungan pembiakan di destinasi akhir.
Amalan pertanian tidak lestari turut merosakkan ekosistem daratan. Penggunaan baja kimia dan racun makhluk perosak secara melampau, melahirkan fenomena ‘tanah mati’ yang hilang kesuburan biologinya.
Racun kimia bukan sahaja meracuni struktur tanah, malah memutuskan rantai makanan semula jadi dengan membunuh serangga pemangsa dan organisma mikro.
Lebah dan rama-rama sebagai agen pendebungaan semakin pupus, mengancam keselamatan makanan negara dalam jangka panjang.
Kemusnahan habitat ini mencetuskan kesan lain seperti penularan penyakit zoonotik akibat pencerobohan hutan, serta peningkatan konflik hidupan liar dengan manusia.
Dalam menghadapi kemusnahan habitat, negara juga berhadapan dengan pengurusan ekosistem seperti pemeliharaan Tasek Bera di Pahang sebagai Tapak Ramsar pertama negara.
Tanah lembap ini sangat penting dalam mengekalkan keseimbangan populasi ikan, hidupan liar dan kualiti air yang optimum.
Ekosistem Tasek Bera mesti dijaga agar laluan migrasi ikan untuk membiak tidak terganggu. Kualiti air yang dikawal daripada pencemaran kimia membolehkan rantaian ekosistem air tawar terus membekalkan sumber protein dan mengekalkan kepelbagaian biologi unik, yang turut menjadinadi kehidupan komuniti Orang Asli Semelai.
Kisah kepupusan Botak Botak Upeh (Mycteria cinerea) di habitat liar Malaysia adalah amaran keras tentang rapuhnya ekosistem pesisir.
Empat aspek ekologi kritikal yang runtuh ialah Kemusnahan Niche Ekologi, Gangguan Rantaian Makanan, Impak Ekotoksikologi dan Pencemaran Genetik. Melalui rantaian impak ini, kemandirian populasi liar Botak Upeh lumpuh sepenuhnya.
Kajian ekologi komprehensif mendedahkan ancaman terhadap ekosistem pantai dan laluan burung hijrah di Malaysia.
Kajian ke atas Burung Botak Upeh di Kuala Gula sebagai model yang merangkumi aspek mikro daripada sistem endokrina sehinggalah kepada perubahan tingkah laku, kejayaan pembiakan dan dinamika populasi burung akibat kerosakan habitat menunjukkan ekosistem berkenaan sedang menghadapi krisis ekologi.
Isu kritikal pencemaran plastik serta pengumpulan logam berat berbahaya seperti plumbum (Pb), tembaga (Cu), zink (Zn), kadmium (Cd) dan merkuri (Hg) juga menjadi perhatian.
Bahan kimia ini bertindak sebagai perancatan dokrin yang mengganggu hormon hidupan liar, menipis kancang kerang telur burung dan menggagalkan kelangsungan hidup generasi baharu.
Kajian menggunakan moluska seperti kupang dan siput sebagai petunjuk biologi mengukur kepekatan toksik dalam tisu mereka mencerminkan kualiti sebenar habitat.
Selari dengan itu, ikan Medaka (Oryzias) digunakan sebagai model makmal toksikologi akuatik bagi mengkaji bagaimana sisa kimia dan mikroplastik merosakkan organ dalaman serta sistem pembiakan, sebelum racun tersebut bergerak ke atas rantaian makanan dan meracuni burung air.
Secara keseluruhannya, naratif kajian multidimensi ini membuktikan kestabilan ekosistem pantai kini berada dalam fasa membimbangkan.
Kemerosotan kualiti habitat bukan sekadar kehilangan kawasan fizikal akibat pembangunan tetapi serangan biokimia yang memutuskan rantaian hayat migrasi global.
Hari Ekologi Sedunia 2026 menjadi satu lagi seruan mendesak agar kita sedar setiap tindakan manusia mempunyai kesan rantaian terhadap bumi.
Dengan ekologi sebagai panduan, kita mampu memulih keseimbangan ekosistem bumi dan memastikan rantaian hayat terus berfungsi untuk kelangsungan semua makhluk. –UTUSAN
PROFESOR Dr. Ahmad Ismail ialah Felo Akademi Sains Malaysia.










