Banjir dijangka tidak seteruk 2021 - NADMA - Utusan Malaysia

Banjir dijangka tidak seteruk 2021 – NADMA

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Bencana banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dijangka tidak seteruk kejadian pada 2021 yang menyaksikan beberapa kawasan termasuk Taman Sri Muda, Shah Alam dilanda banjir besar.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, jangkaan itu berdasarkan unjuran awal Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang menunjukkan kemungkinan kejadian banjir berkurangan pada musim ini.

Katanya, meskipun ramalan menunjukkan keadaan banjir dijangka kurang serius, semua agensi berkaitan tetap diarahkan mengekalkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ikut ramalan setakat hari ini, tahun ini kita rasa banjir paling kurang. Kita harap ramalan MetMalaysia ini betul.

“Walaupun diramalkan kurang, persiapan dan kesiapsiagaan kita tidak berkurangan. Kita tetap mengekalkan standard yang sama kerana saya lebih risau sekiranya berlaku keadaan sebaliknya,” katanya pada sidang media selepas Sesi Libat Urus NADMA Bersama Media Mengenai Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi MTL 2026/2027 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Meor Ismail berkata, kawasan yang jarang dilanda banjir lebih membimbangkan kerana penduduk dan agensi setempat mungkin kurang bersedia menghadapi bencana di luar jangka.

“Kawasan yang biasa banjir, persiapan mereka baik kerana pegawai daerah dan anggota bomba sudah berpengalaman. Tetapi kawasan yang jarang banjir, itu yang lebih saya risau kerana kadang-kadang kurang membuat persiapan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Cuaca dan Gempa Bumi Nasional MetMalaysia, Maqrun Fadzli Mohd. Fahmi berkata, episod hujan lebat masih dijangka berlaku antara penghujung November hingga awal Januari, namun maklumat semasa tidak menunjukkan petunjuk kejadian cuaca ekstrem.

Katanya, pemantauan cuaca dilakukan setiap hari dan amaran hujan berterusan mengikut kategori kuning, jingga dan merah akan dikeluarkan dalam tempoh satu hingga tiga hari lebih awal sekiranya terdapat potensi hujan lebat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini