Sektor pelancongan Perlis diperkasa melalui penggunaan teknologi AI  - Utusan Malaysia

Sektor pelancongan Perlis diperkasa melalui penggunaan teknologi AI 

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Bengkel Perlis AI Tourism Attack di Dewan Gunasama, Kompleks Seri Putra, Kangar baru-baru ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sektor pelancongan Perlis terus diperkasa melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan strategi pemasaran digital menerusi penganjuran Bengkel Perlis AI Tourism Attack di Dewan Gunasama, Kompleks Seri Putra, Kangar baru-baru ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian bengkel berkenaan.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Travel Yamu Malaysia, Uzaidi Udanis dan Pengurus Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (PSSI) Mohd Irzat Rozaidy Mohamad Roseli.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berangkat sama, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta anakanda puteri kedua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Turut hadir, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah: Tengku Puan Laksamana Kelantan, Datuk Seri Diraja Sharifah Azwan Jamalullail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Noor Azman Abdul Rahman.

Program berimpak tinggi itu dianjurkan secara kolaboratif oleh Travel Yamu dan Asni Rez dengan sokongan PSSI sebagai salah satu usaha memperkukuh promosi pelancongan negeri, khususnya menerusi kempen Tahun Melawat Perlis.

Bengkel berkenaan menghimpunkan pelajar, golongan muda dan penggiat industri pelancongan tempatan bagi meningkatkan pemahaman serta kemahiran mereka dalam memanfaatkan teknologi pintar untuk memperluas potensi industri pelancongan negeri.

Sepanjang program, para peserta diberikan pendedahan praktikal mengenai penggunaan pelbagai perisian berasaskan AI bagi menghasilkan kandungan kreatif, memperkukuh strategi pemasaran digital serta meningkatkan kecekapan pengurusan produk dan pakej pelancongan.

Inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang digital dalam kalangan komuniti setempat, membantu penggiat industri menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan perubahan landskap pemasaran pelancongan global.

Selain itu, bengkel tersebut membuka peluang kepada masyarakat tempatan untuk mengetengahkan keunikan budaya, warisan dan keindahan alam semula jadi Perlis sebagai produk pelancongan yang berpotensi menjana pendapatan serta mewujudkan peluang ekonomi yang lebih mampan.

Melalui pendekatan pemasaran digital yang lebih strategik, produk dan pakej pelancongan tempatan juga berupaya dipasarkan kepada khalayak yang lebih luas, termasuk pelancong dari luar negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini