KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih dipenjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas kesalahan mengedar 173 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine, empat tahun lalu.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Adam Tan Seng Tek, 34, dan wanita warga Vietnam, Nguyen Thi Kim Thanh, 33, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
“Jadi secara ringkas mahkamah memutuskan keterangan-keterangan pihak pembelaan telah gagal untuk menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.
“Mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh salah dan disabitkan ke atas pertuduhan,” katanya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan pada 24 Februari 2022 selain Seng Tek turut dikenakan 12 sebatan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 172,741.10 gram di sebuah unit kondominium di Residensi Kiara Jalil 1, di sini, pada pukul 9.30 malam, 24 Februari 2022.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, boleh sebat minimum 12 kali.
Dalam penghakiman ringkasnya, hakim itu berkata, pihak tertuduh sendiri telah mengakui bahawa kain hitam berbelang putih dan kotak merah (di mana dadah tersebut ditemui) adalah miliknya.
Katanya, mahkamah juga mendapati lelaki yang disyaki terlibat dalam kes ini dan dirujuk sebagai ‘Api’, perlu mendaftar butirannya pada buku log pelawat.
“Mahkamah juga telah meneliti screenshot (tangkap layar), mahkamah mendapati jika pun ada akses, eksibit menunjukkan lelaki disyaki (Api) perlu mendaftar diri di log pelawat.
“Ini sebenarnya menunjukkan bahawa Api tidak mempunyai akses kepada unit ini kerana memerlukan beliau mendaftar diri di bahagian log daftar pelawa,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene mencadangkan hukuman berat mengambil kira kuantiti dadah yang terlibat iaitu seberat 172,741.10 gram selain faktor kepentingan awam.
“Dalam kes ini, saya pohon mahkamah mengambil kira berat dadah bagi kes ini yang melebihi lebih kurang 3,000 kali ganda daripada konteks pengedaran.
“Kesalahan berkaitan dadah turut menjadi faktor kepada ancaman keselamatan dan juga ketenteraman negara serta kesihatan awam, bahkan dadah telah diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara pada tahun 1983,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Kee Wei Loon mewakili kedua-dua tertuduh memohon agar anak guamnya hanya dikenakan hukuman penjara selain 12 kali sebatan bagi Seng Tek.
“Trend hukuman untuk kes-kes sebegini menunjukkan hukuman gantung tidak lagi dijatuhkan. Mohon hukuman yang dibenarkan bawah undang-undang iaitu penjara seumur hidup dan untuk tertuduh pertama (Seng Tek), 12 sebatan,” katanya. – UTUSAN











