KUALA LUMPUR: Siapa sangka, sebuah topi kecil yang dikait dengan penuh kasih sayang menjadi antara kenangan terakhir yang ditinggalkan oleh ibu pelakon, Syafiq Kyle, Allahyarham Rohaya Sulaiman sebelum menghembuskan nafas terakhir, pada 17 Oktober lalu.
Menurut Syafiq, dia menemui hasil tangan ibunya itu selepas pemergiannya, sekali gus mengundang persoalan mengenai impian yang mungkin pernah dipendam insan tersayang sepanjang hayatnya.
“Dalam tempoh tiga bulan terakhir sebelum ibu meninggal dunia, isteri saya, Mimi Lana pernah bertanya sama ada ibu tahu mengait atau tidak. Ibu beritahu dia pernah mengait pakaian anak-anaknya ketika kami masih kecil.
“Jadi, isteri saya membelikan satu set peralatan mengait menerusi Shopee untuk diberikan kepada ibu. Sepanjang dua bulan sebelum pemergiannya, ibu banyak menghabiskan masa di dalam bilik kerana keadaan kesihatannya tidak begitu baik.
“Dia tidak banyak bergerak, jadi ibu menghabiskan masa dengan mengait. Selepas ibu meninggal dunia, saya ternampak ada sebuah topi kecil yang sudah siap dikait olehnya. Mungkin Mimi pernah berbual dengan ibu mengenai perkara yang dia mahu lakukan.
“Mungkin dahulu ibu pernah menyimpan impian untuk menjadi tukang jahit atau membuka kedai jahitan sendiri. Daripada situ, saya sedar bahawa kita perlu terus mengejar impian, tidak kira sekecil mana sekalipun,” katanya kepada Utusan Malaysia
Syafiq berkata demikian ketika ditemui pada sesi temubual bersama media bagi filem BAGA: Esok Untuk Siapa?, semalam.
Dalam masa sama, pelakon filem Sheriff: Narko Integriti itu turut menitipkan pesanan kepada mereka yang masih mempunyai ibu bapa agar mengambil peluang untuk mengetahui dan membantu merealisasikan impian insan tersayang selagi berkesempatan.
“Setiap ibu pasti mempunyai impian. Kadang-kadang, apabila mereka mempunyai anak, mereka terpaksa berhenti mengejar impian sendiri kerana mahu memberikan tumpuan kepada keluarga.
“Jadi, kepada mereka yang masih mempunyai ibu, cubalah bertanya apakah impian mereka dan kalau boleh, bantu mereka mencapai impian tersebut.
“Bukan sahaja ibu, tetapi impian bapa dan pasangan kita juga. Kita cuba tunaikan selagi ada peluang,” katanya.
Terdahulu, Syafiq memaklumkan ibunya telah meninggal dunia selepas menghidap kanser paru-paru tahap empat sejak tahun lalu.











