TAIPEI: China mengerahkan lebih 50 kapal tentera laut dan kapal rasmi lain di kawasan perairan luas dari selatan Jepun hingga ke Taiwan serta perairan berhampiran Filipina, menurut seorang pegawai kanan Taiwan.
Kenyataan pada Rabu itu disertakan dengan peta yang dimuat naiknya di platform X, menunjukkan kedudukan 53 kapal, termasuk 34 kapal perang tentera laut China serta kapal pengangkut pesawat Liaoning.
“Kami terus memantau kegiatan mereka. Ancaman serentak terhadap Taiwan, Jepun dan Filipina adalah jelas,”kata Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Taiwan, Joseph Wu.
Menurut peta itu, kapal pengangkut pesawat berkenaan bersama kumpulan tempurnya berada di timur Filipina, manakala formasi kapal lain dikesan di perairan timur dan tenggara Taiwan serta tiga lagi di luar pantai selatan Jepun. Wu turut menerbitkan peta serupa di laman X pada Mei lalu.
Pada Rabu, Kementerian Pertahanan Jepun berkata, pihaknya mengesan tiga kapal perang China dan sebuah kapal Pengawal Pantai China sehari sebelumnya ketika kapal berkenaan melalui Selat Osumi yang sempit berhampiran Pulau Kyushu sebelum memasuki Lautan Pasifik.
Bulan ini, Kementerian Pertahanan China berkata, kapal pengangkut pesawat Liaoning sedang menjalani latihan rutin yang tidak menyasarkan mana-mana negara tertentu.
Hubungan China dengan Jepun dan Filipina semakin merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Beijing tidak berpuas hati dengan sokongan Jepun terhadap Taiwan, selain berdepan pertikaian yang semakin meruncing dengan Manila di Laut China Selatan.
“Kami tidak senang melihat sebarang usaha mempamerkan kekuatan bagi menghalang pihak lain yang boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan di rantau Indo-Pasifik,” kata Menteri Pertahanan Taiwan, Wellington Koo.
Taiwan, yang dianggap China sebagai sebahagian daripada wilayahnya, kini meningkatkan usaha menerbitkan maklumat terperinci dan peta yang menunjukkan lokasi operasi kapal perang serta kapal Pengawal Pantai China.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles berkata, peningkatan kekuatan ketenteraan China turut memberi tekanan dan ketegangan di Asia Tenggara, sambil menggesa sekutu dan rakan kerjasama memperkukuh hubungan.
“China tidak memberikan penjelasan mengenai sebab tindakan itu dilakukan dan semua ini mewujudkan keadaan yang memberi tekanan.
“Kita perlu memastikan peraturan yang menjadi panduan hubungan antarabangsa terus terpakai kerana bagi negara kuasa sederhana seperti Australia, peraturan itulah yang membolehkan kita memainkan peranan,” katanya.











