“KITA membawa kepakaran dunia ke desa supaya anak kampung juga mampu mencipta kejayaan di peringkat dunia.”
Demikian antara intipati ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada perasmian Ekspo Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) @ KKDW 2026 di Sungai Besar, Sabak Bernam baru-baru ini.
Menerusi hasrat tersebut, sebuah ekosistem lengkap TVET di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dapat diwujudkan melibatkan 281 institusi di bawahnya.
Malah, sehingga kini terdapat sekurang-kurangnya 1,996 institusi awam dan swasta menawarkan latihan dalam bidang itu di seluruh negara.
Perkembangannya juga dapat dilihat menerusi penganjuran Ekspo TVET@KKDW 2026 yang memasuki penganjuran kali ke lapan pada tahun ini apabila mempamerkan pelbagai impak daripada program-program TVET dari kemahiran asas pertukangan hinggalah pengadaptasian terhadap teknologi robotik.
Kekuatan Ekspo TVET@KKDW 2026 dipacu melalui kerjasama strategik antara KKDW, agensi dan institusi TVET di bawahnya serta Majlis TVET Negara (MTVET).
Penganjurannya memberi tumpuan kepada usaha mempergiat promosi TVET secara bersepadu dan berimpak tinggi, membangun serta memperkukuh jenama TVET Kebangsaan, meningkatkan imej dan keyakinan masyarakat dan memperkasa bimbingan kerjaya TVET bagi membantu generasi muda membuat pilihan pendidikan dan kerjaya yang tepat.
Dalam ekspo tersebut juga lebih 500,000 pengunjung yang sebahagian besarnya terdiri daripada belia desa dari kawasan Anjung Utara Selangor itu berpeluang menyaksikan lebih 500 bidang kemahiran yang ditawarkan oleh 281 institusi TVET di bawah KKDW.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW, Datuk Abdul Kahar Abdullah berkata, selepas pendedahan-pendedahan diberikan tentang kepentingan latihan teknikal dan vokasional, kini lebih 57 belia atau lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai bidang itu.
Menurutnya antara faktor bidang itu semakin mendapat perhatian apabila ia bukan sahaja mampu menawarkan pekerjaan dengan kadar gaji premium, bahkan latihan diberikan adalah bersifat relatif terhadap keperluan industri.
Ini kerana modul latihan yang digubal oleh institusi-institusi TVET turut dilakukan oleh pemain-pemain industri dalam menentukan jenis serta tahap kemahiran diperlukan dan seterusnya pelajar dilatih kemudian diserap sebagai pekerja berkemahiran.
“KKDW menjalinkan kerjasama erat dengan pihak industri untuk membangunkan modul pembelajaran. Ini memastikan modul yang dihasilkan ‘tailored’ kepada keperluan industri.
“Proses formulasi modul dilakukan bersama dengan industri. Ini penting kerana jika modul dibuat sendiri, kemahiran yang diajar mungkin tidak sepadan dengan kehendak industri, menyebabkan graduan sukar diterima bekerja.
“KKDW memperkenalkan konsep ‘teaching factory’ yang mana industri ditempatkan dalam institusi akademik atau sebaliknya, membolehkan pelajar mendapat pendedahan ‘hands-on’ yang relevan dengan keperluan industri.
“Kolaborasi dengan industri penting untuk sentiasa ‘cope up’ dengan perkembangan teknologi dan memastikan kemahiran yang diajar kekal relevan dengan teknologi dan pendekatan baharu dalam industri,” katanya dalam temubual bersama Utusan Malaysia.
Malah, beliau memaklumkan, menerusi ekosistem di bawah KKDW, sejumlah 333 syarikat bekerjasama menawarkan latihan dalam bidang TVET bagi keperluan operasi pengeluaran mereka yang memerlukan tenaga berkemahiran tinggi.
Antara syarikat terlibat termasuklah Samsung, Mitsubishi, Volkswagen, Bosch dan sebagainya yang menyediakan latihan bagi memenuhi kehendak kepakaran diperlukan.
“Sebagai contoh di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT) di Subang Jaya, mereka ada sebuah hangar yang menjadi tempat operasi bagi beberapa syarikat helikopter yang menawarkan perkhidmatan selenggara seperti selenggara, pembaikan dan operasi (MRO).
“Pelajar-pelajar di institusi tersebut dapat belajar secara ‘hands-on’, terus. Maknanya sepanjang masa dia ‘hands-on’ bersama MIAT dan syarikat berkenaan di hangar.
“Sebagai contoh, ada sebuah syarikat Fassi Asia Pacific Sdn. Bhd. dari Itali yang mana UniKL membuka institusinya di dalam kilang menawarkan latihan dalam bidang ‘fabrication’, sama juga konsepnya pelajar terus ‘hands-on’,” jelasnya.
Justeru, Abdul Kahar memberitahu, inisiatif-inisiatif memastikan pendidikan dan latihan seiring dengan keperluan industri terhadap tenaga berkemahiran tinggi menjadi antara faktor peningkatan kebolehpasaran graduan dalam bidang TVET.
“Kebolehpasaran graduan TVET berada pada tahap 98.9 peratus dengan gaji premium. Sebagai contoh melalui program yang ditawarkan oleh institusi lain di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang bekerjasama dengan Samsung. Modulnya dibuat bersama-sama.
“Ketika dalam latihan, pelajar diberi elaun sebanyak RM1,800 sebulan, kemudian apabila tamat, mereka diberi tawaran kerja sebagai pekerja berkemahiran dengan tawaran gaji RM3,500. Ia hasil daripada kerjasama industri, kita mengadakan perjanjian persefahaman,” ujarnya.

Katanya lagi, lepasan TVET juga tidak semestinya terikat dengan syarikat apabila ada antara mereka yang menggunakan kemahiran untuk membuka perniagaan sendiri seperti bengkel kereta, motosikal dan sebagainya.
Selain itu, Abdul Kahar memaklumkan TVET juga berkonsepkan pembelajaran sepanjang hayat yang menawarkan program-program upskilling dan reskilling bersesuaian dengan golongan bekerja.
“Di institusi KKDW, kita juga menawarkan kepada orang yang sudah bekerja untuk menambahkan kemahiran. Maknanya dia pembelajaran sepanjang hayat boleh dalam bentuk kursus-kursus jangka pendek.
“Kita juga ada TVET Gig bagi mereka yang terlibat dalam pekerjaan tidak formal seperti e-hailing atau p-hailing. Mereka ditawarkan untuk mengikuti program TVET supaya mereka ada kemahiran untuk meningkatkan kualiti hidup,” katanya. – UTUSAN











