KUANTAN: Pangkalan Udara Kuantan hari ini mencatat sejarah baharu pertahanan negara dengan ketibaan dua pesawat tempur ringan FA-50M Block 20 buatan Korea Aerospace Industries (KAI) dari Korea Selatan.
Ketibaan berperingkat ini merupakan sebahagian daripada kontrak pembelian 18 pesawat bernilai hampir RM4 bilion yang dimeterai Kementerian Pertahanan pada Mei 2023, sekali gus menandakan permulaan langkah modenisasi armada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Penerimaan awal ini bukan sekadar urusan penyerahan aset fizikal, malah membawa implikasi strategik signifikan kepada keupayaan tempur udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam landskap keselamatan serantau yang semakin kompleks dan mencabar, kehadiran pesawat supersonik generasi baharu ini akan mengisi jurang keupayaan pertahanan yang selama ini memerlukan penambahbaikan berterusan, terutamanya bagi menggantikan perkhidmatan aset-aset lama yang bakal atau telah bersara.
Terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Kuantan memberikan akses laluan pantas bagi rondaan dan tindak balas di ruang udara Laut China Selatan, membolehkan TUDM mengekalkan tahap kesiapsiagaan yang tinggi terhadap sebarang pencerobohan ruang udara serta melindungi zon ekonomi eksklusif (ZEE) negara dengan lebih berkesan.
Sementara itu, sebahagian daripada 18 pesawat itu juga akan ditempatkan di Pangkalan Udara Labuan secara berperingkat, sekali gus memberi dimensi baharu kepada strategi pertahanan Malaysia.
Kedudukan Labuan berhampiran wilayah Sabah, Sarawak serta perairan bertindih di Laut China Selatan membolehkan TUDM mengimbangi taburan kekuatan tentera udara antara Semenanjung dan Malaysia Timur, sekali gus memperkukuh pertahanan kedaulatan negara secara menyeluruh.
Varian FA-50M (Malaysia) dibina berasaskan standard Block 20 dan dilengkapi teknologi penerbangan serta sensor termaju, menjadikannya sebuah pesawat pejuang ringan yang sangat fleksibel dan efisien.
Di samping berupaya melaksanakan peranan Light Combat Aircraft (LCA) seperti pertempuran udara-ke-udara dan serangan darat, FA-50M turut berperanan sebagai pesawat latihan lanjutan (Lead-in Fighter Trainer – LIFT) untuk menyediakan juruterbang muda sebelum mereka melangkah ke pesawat tempur barisan hadapan.
Dari sudut keupayaan taktikal, varian khusus ini dilengkapi radar Active Electronically Scanned Array (AESA), sistem pautan data moden serta keupayaan pengisian minyak dalam udara (air-to-air refueling).
Peningkatan integrasi sistem persenjataan berketepatan tinggi membolehkan FA-50M melaksanakan misi rondaan tempur jangka panjang dan memberikan sokongan udara rapat dengan kadar kebolehpercayaan yang sangat tinggi. – UTUSAN











