PETALING JAYA: Penerajui global dalam brek karbon industri aeroangkasa, Safran Landing Systems mengukuhkan kehadirannya di rantau Asia-Pasifik menerusi pembesaran kemudahan pembuatan di Sendayan dan pembukaan pusat Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) baharu di Nilai, Negeri Sembilan.
Pelaburan strategik bernilai lebih 136 juta euro (kira-kira RM630 juta) itu bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat daripada kira-kira 100 pengendali syarikat penerbangan di rantau Asia-Pasifik, melibatkan pesawat Airbus (A320, A321, A350), Boeing (737, 777, 787) serta ATR.
Ketua Pegawai Eksekutif Safran Landing Systems, François Bastin berkata, Malaysia memainkan peranan strategik dalam jejak industri global syarikat untuk memberi perkhidmatan roda dan brek yang lebih pantas serta dekat dengan pelanggan.
“Pelaburan di Sendayan dan Nilai mencerminkan komitmen kami untuk menyokong pertumbuhan penerbangan jangka panjang Asia Pasifik, di samping membangunkan bakat tempatan dan mengurangkan jejak alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.
Pembesaran kemudahan Sendayan bernilai 134 juta euro (kira-kira RM608.19 juta) menambah ruang pembuatan maju seluas 7,000 meter persegi, merangkumi talian tekstil baharu, relau pengkarbonan dan peralatan mesin canggih.
Kilang Safran yang kini mempunyai 160 pekerja itu menyasarkan untuk menggandakan kapasiti pengeluaran cakera brek karbonnya menjelang tahun 2028.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, langkah Safran meluaskan kilang sedia ada dan membuka cawangan baharu membuktikan keyakinan tinggi terhadap Malaysia.
“Pelaburan ini akan mencipta nilai jangka panjang, membangunkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan terus memperkukuh keupayaan aeroangkasa negara,” katanya.
Pusat MRO baharu seluas 1,000 meter persegi di Nilai membabitkan pelaburan bernilai 2.0 juta euro dan beroperasi berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) serta berjarak 20 kilometer dari Sendayan.
Bagi menyokong peningkatan operasi itu, Safran Landing Systems merancang untuk menambah tenaga kerjanya di Malaysia kepada 220 pekerja menjelang tahun 2030 merentasi operasi industri dan MRO.
Dalam pada itu, kemudahan di Sendayan berjaya mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 60 peratus antara tahun 2018 dan 2025 menerusi penggunaan sumber tenaga rendah karbon dan kitar semula gas proses.
Langkah perluasan di Malaysia ini merupakan sebahagian daripada strategi teras Safran Landing Systems di Asia-Pasifik, susulan pembesaran kemudahan MRO gear pendaratan syarikat di Singapura pada September lalu. – UTUSAN











