Enggan nikah orang masuk Selatan Thai cara haram

Enggan nikah orang masuk Selatan Thai cara haram

AHMAD Fahmi Ahmad Sarkawi (tengah) berbincang isu pernikahan bersama wakil majlis agama Islam lima wilayah Selatan Thai di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand. - UTUSAN/RAZALI ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SONGKHLA (THAILAND): Semua lima majlis agama Islam di wilayah Selatan Thai sepakat tidak lagi menikahkan pasangan warga Malaysia yang memasuki Thailand secara haram.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, ketetapan itu dipersetujui dalam mesyuarat bersama wakil Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Songkhla, Satun, Yala dan Pattani, semalam bagi memperketat prosedur perkahwinan membabitkan warga Malaysia.

Katanya, mesyuarat itu turut memutuskan supaya surat pengesahan sijil nikah tidak lagi dikeluarkan kepada pasangan yang memasuki Thailand tanpa mematuhi prosedur imigresen yang sah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pihak konsulat mendapati masih terdapat pasangan warga Malaysia yang datang ke lima wilayah berkenaan untuk bernikah tanpa menggunakan laluan sempadan sah, pasport atau melalui pemeriksaan imigresen kedua-dua negara.

“Perbuatan itu adalah kesalahan imigresen dan perlu dibendung bagi memastikan setiap pasangan mematuhi undang-undang negara berkenaan. Mesyuarat hari ini (semalam) memutuskan supaya surat pe­ngesahan sijil nikah tidak lagi dikeluarkan kepada pasangan yang berbuat demikian.

“Semua majlis agama Islam di Selatan Thai juga bersetuju untuk tidak lagi melangsungkan pernikahan pasangan Malaysia yang memasuki Thailand secara haram,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas mesyuarat berkenaan.

Ahmad Fahmi berkata, kes kemasukan secara haram untuk tujuan pernikahan lebih kerap berlaku di Narathiwat dan Satun namun jumlahnya tidak banyak.

“Mungkin daripada 10 pasa­ngan, ada satu yang masuk secara haram. Bagaimanapun, perkara itu masih berlaku dan kita sudah membincangkannya.

“Insya-Allah, masalah ini dapat diselesaikan dengan persetujuan majlis agama Islam untuk tidak menikahkan pasangan yang berbuat demikian,” ujarnya.

Beliau berkata, berdasarkan rekod permohonan surat pengesahan daripada pihak konsulat, antara 300 hingga 400 pasangan warga Malaysia bernikah di Selatan Thai setiap bulan atau lebih 5,000 pasangan setahun.

Bagaimanapun, katanya, jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana terdapat pasa­ngan yang tidak memohon surat pengesahan daripada pihak konsulat.

“Songkhla adalah wilayah paling ramai dikunjungi warga Malaysia untuk bernikah diikuti Narathiwat, Satun, Yala dan Pattani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini