SHAH ALAM: Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor merancang menaik taraf jajaran kira-kira lima kilometer di Persiaran Mokhtar Dahari (B49) dengan anggaran kos RM128 juta bagi melancarkan aliran trafik di laluan berkenaan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, pelaksanaan langkah jangka panjang itu dirancang di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dan memerlukan tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun.
Katanya, skop perancangan itu turut meliputi penambahbaikan persimpangan utama, penyediaan lampu jalan dan lampu isyarat, saliran serta pengalihan utiliti di sepanjang jajaran berkenaan.
“Jajaran itu dari sempadan Seksyen 11 hingga persimpangan Greenhill. Bilangan lorong sekarang tidak seragam dan kita hendak menyeragamkannya kepada empat lorong keseluruhan bagi kedua-dua arah.
“Kalau hendak penyelesaian yang lebih baik, memang ada cadangan untuk membina jalan bertingkat di sepanjang laluan. Pengguna yang hendak bergerak terus boleh menggunakan laluan atas manakala mereka yang hendak masuk ke kawasan perumahan menggunakan laluan bawah.
“Bagaimanapun, anggaran awal kosnya sekitar RM1 bilion dan kemampuan kewangan kita belum mencukupi. Kajian perlu dibuat dan kosnya diteliti terlebih dahulu. Pada pandangan saya, pilihan penswastaan laluan atas boleh diteliti,” katanya dalam sidang akhbar keselamatan dan penambahbaikan Persiaran Mokhtar Dahari di Bangunan SUK Selangor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Izham Hashim berkata, satu lorong tambahan sepanjang kira-kira 300 meter dari Puncak Alam menuju Shah Alam di persimpangan Alam Budiman telah diluluskan dengan anggaran kos RM3 juta.
Katanya, ukur topografi dan pengesahan utiliti sedang dilaksanakan dengan kerja fizikal dijangka bermula pada pertengahan 2027 serta disasarkan siap pada tahun sama.
“Lorong tambahan ini membolehkan kenderaan ke Shah Alam bergerak terus tanpa menunggu lampu isyarat manakala kenderaan yang hendak masuk ke Alam Budiman masih perlu berhenti di lampu isyarat.
“Pelaksanaannya mengambil masa kerana terdapat utiliti di tepi jalan yang perlu dialihkan terlebih dahulu. Kerja fizikal dianggarkan mengambil masa kira-kira tiga bulan,” katanya.
Dalam pada itu, Izham berkata, trafik melalui persimpangan Alam Budiman diunjurkan sekitar 80,300 kenderaan sehari pada hari bekerja bagi 2026 dengan purata kelewatan sekitar 7.6 minit setiap kenderaan ketika waktu puncak pagi.
Katanya, kerajaan negeri telah meluluskan RM4.2 juta sejak 2023 bagi kerja peningkatan keselamatan yang dilaksanakan JKR Selangor termasuk lorong tambahan sementara, perabot jalan, papan tanda dan lampu jalan.
Menurutnya, kajian turut merekodkan sembilan kemalangan di sepanjang jalan berkenaan yang melibatkan satu kematian dengan lima daripadanya berlaku di persimpangan Alam Budiman.
“Kajian perunding yang dijalankan di luar waktu puncak mendapati 88 peratus kenderaan yang melalui kawasan tersebut melanggar had laju dan angka itu sangat tinggi.
“Walau bagaimana sekalipun jalan dibina, masalah ini tidak akan selesai sekiranya sikap pemandu tidak turut diberi perhatian. Saya berharap pengguna mematuhi semua papan tanda yang dipasang,” katanya. – UTUSAN











