ARAU: Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Somnath Ghosh mengadakan kunjungan hormat ke atas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid di Balai Menghadap Biru, Istana Arau.
Mengiringi baginda Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut berangkat, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta anakanda puteri kedua baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Kunjungan hormat itu bertujuan untuk memperkukuh hubungan dua hala yang sedia terjalin erat antara India dan Perlis.
Hubungan berkenaan telah bermula sejak lawatan negara rasmi pertama Yang di-Pertuan Agong Ketiga, Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ke India pada 1961.
Lawatan bersejarah Tuanku Syed Putra pada Disember 1961 itu telah membawa impak yang amat besar kepada kedua-dua buah negara.
Sebagai lawatan negara pertama pasca-kemerdekaan itu, ia berjaya membuka lembaran baharu yang meletakkan asas kukuh bagi hubungan diplomatik moden antara Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia) dan India.
Sambutan luar biasa oleh kepimpinan tertinggi India ketika itu mencerminkan penghormatan tinggi terhadap institusi beraja Malaysia.
India sentiasa memandang tinggi karisma kepimpinan dan sumbangan institusi diraja Perlis dalam memupuk keharmonian serta kemajuan.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak telah membincangkan pelbagai peluang kerjasama baharu demi kemakmuran bersama.
India komited untuk terus meneroka potensi kolaborasi dalam sektor pendidikan dan ekonomi di Perlis.
Dalam pada itu, Ghosh merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis atas kesudian menerima kunjungan hormat tersebut.-UTUSAN











