SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tidak menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini.
Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Mohd. Fasha Musthafa ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
“Tiada. Hari ini MB urusan macam biasa,” katanya.
Perkara itu menjadi perhatian berikutan spekulasi mengenai kemungkinan Ismail menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, di sini.
Ia menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka diadakan pada 26 November ini.
Terdahulu media difahamkan Ismail akan menghadap Tuanku Muhriz
bertujuan menyembah maklum mengenai intipati dan hala tuju Belanjawan Negeri Sembilan selain mendapatkan pandangan serta perkenan baginda.
Sehubungan itu, beberapa petugas media mula berkumpul di luar Istana Hinggap sejak pukul 10 pagi tadi bagi mengikuti perkembangan berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga pukul 11.30 pagi, kenderaan yang membawa Ismail tidak kelihatan memasuki pekarangan istana.
Bagaimanapun kenderaan yang membawa Tuanku Muhriz dilihat memasuki pekarangan istana kira-kira pukul 10.50 pagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Negerj Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim turut difahamkan dijadual menghadap baginda, namun tujuan pertemuan itu belum dapat dipastikan.
Ismail sebelum ini dilaporkan menafikan dakwaan bahawa beliau akan menghadap Tuanku Muhriz minggu ini.
Selain itu, beliau turut menafikan khabar angin akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar sebaliknya menegaskan masih mendapat sokongan penuh daripada 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang lain.
Malah, katanya persiapan belanjawan sudah berada di peringkat akhir dengan kerjasama penjawat awam negeri, khususnya ketua-ketua jabatan serta satu perbincangan lagi akan diadakan sebelum memuktamadkan belanjawan negeri yang dijadual dibentangkan pada 27 November ini. – UTUSAN











