KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen baharu bagi aktiviti perjudian sejak tahun 1990an di negara ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sebaliknya kementerian hanya mengawal selia operasi perjudian berlesen sedia ada.
Beliau berkata, sebarang langkah perubahan dasar berkaitan perjudian perlu mengambil kira asas perundangan sedia ada, keberkesanan pelaksanaan dan penguatkuasaan, risiko peningkatan aktiviti tidak berlesen serta kesejahteraan masyarakat majmuk di negara ini.
“Dari segi pengawalseliaan, MOF sentiasa komited dalam usaha menilai keberkesanan kerangka kawal selia sedia ada bagi memastikan aktiviti perjudian berlesen beroperasi dalam lingkungan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
“MOF turut bekerjasama dengan semua pihak, termasuk agensi penguat kuasa, orang awam serta pihak berkepentingan bagi memperkukuh langkah pengawalseliaan dan penguatkuasaan untuk membendung dan membanteras aktiviti perjudian tidak berlesen.
“Aduan dan maklumat berkaitan aktiviti perjudian haram akan disalurkan kepada agensi penguat kuasa yang berkenaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai dasar, pertimbangan dan halangan kerajaan untuk tidak lagi mengeluarkan atau memperbaharui lesen perjudian. – UTUSAN











