BUKIT JALIL: Selepas kejayaan Mualim Muda Musim Pertama, Astro Oasis kembali meneruskan misi melahirkan ikon pemimpin Islam generasi baharu menerusi Mualim Muda Musim 2.
Program realiti berteraskan ilmu dan dakwah itu tampil dengan pendekatan yang lebih segar, mencabar dan relevan dalam usaha mencari anak muda Muslim yang bukan sahaja berilmu agama, tetapi juga mampu memimpin, mempengaruhi dan berkhidmat kepada masyarakat dalam dunia yang sentiasa berubah.
Menurut Raqim Ahmad selaku Naib Presiden Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, musim kali ini turut membawa pendekatan baharu dalam menampilkan identiti seorang figura agama.
“Program ini memperlihatkan peserta sebagai individu muda yang autentik, berkarisma dan sedang menempuh pelbagai cabaran kehidupan moden sambil berusaha mengekalkan pegangan agama yang kukuh.
“Setiap cabaran yang diberikan disusun berdasarkan nilai-nilai Al-Quran dan sunnah, menjadikan program ini bukan sahaja sebuah pertandingan, tetapi juga platform inspirasi yang memupuk pembentukan insan yang lebih baik serta memberi sumbangan positif kepada masyarakat.
“Dengan format yang lebih mantap, cabaran yang lebih dekat dengan realiti dan fokus yang lebih relevan kepada generasi masa kini, Mualim Muda 2 bersedia mencetuskan gelombang baharu dalam landskap kandungan Islamik tanah air serta melahirkan generasi pemimpin muda yang mampu menghidupkan ilmu melalui tindakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, pendakwah, Dr Kamilin Jamilin yang masih mengekalkan kedudukannya sebagai juri tetap program itu mengakui standard penjuriannya masih mengutamakan aspek pengisian, penyampaian serta disiplin ilmu yang diketengahkan oleh peserta yang kali ini dalam lingkungan umur sekitar 20-an.
“Peserta kali ini terdiri daripada pelbagai latar belakang. Mereka tidak semestinya datang daripada bidang pengajian agama. Kita mahu menghimpunkan pelbagai bakat ini, tetapi kuncinya hanya satu, iaitu bagaimana mereka mampu menyampaikan ilmu dan memberikan manfaat kepada masyarakat.
“Sebagai juri, saya lebih memberikan perhatian kepada pengisian, penyampaian serta disiplin ilmu yang diketengahkan oleh peserta. Jadi, untuk aspek yang saya nilai, saya tidak boleh terlalu berlembut.
“Kalau kita terlalu berlembut, saya bimbang mereka akan mengambil mudah dan akhirnya mengabaikan perkara yang sebenarnya sangat penting. Bagi saya, disiplin ilmu merupakan aspek paling utama.
“Persembahan, gaya dan kemahiran bercakap boleh diperbaiki dari semasa ke semasa melalui latihan.
Tetapi disiplin ilmu memerlukan proses pembelajaran yang panjang. Ia mengambil masa untuk dibina dan perlu bermula dengan asas yang kukuh,” katanya.
Mualim Muda 2 memperkenalkan pelbagai pembaharuan yang menjadikan perjalanan peserta lebih mencabar dan dekat dengan realiti kehidupan masyarakat masa kini, selaras dengan tema “Pemuda Berjiwa Dakwah, Kini Dengan Misi Lebih Besar.”
Musim ini mengetengahkan peserta yang bukan sahaja memiliki kefahaman agama yang kukuh, malah mampu mengaplikasikan nilai Islam dalam kehidupan sebenar.
Antara elemen utama ialah cabaran komuniti dunia sebenar, perbincangan isu semasa yang dekat dengan generasi muda, serta penghasilan kandungan dakwah digital yang kreatif dan relevan.
Selain Dr. Kamilin, program realiti yang bakal membuka tirainya pada 31 Oktober ini itu turut membawa kembali pendakwah bebas, DatukUstaz Kazim Elias dan Ustazah Asni Masnor sebagai juri.
Manakala, Ustaz Shahrizan Daud kembali sebagai Mursyid (Pengetua) bagi program ini, membimbing serta memberi motivasi kepada para peserta.
Musim ini juga turut menampilkan Atu Zero digandingkan bersama dengan penyanyi nasyid Fakhrul UNIC untuk mengemudi pentas sebagai hos program.











