LONDON: Manchester United mengekalkan Michael Carrick sebagai pengendali pasukan selepas pihak pengurusan gagal menemui calon pengganti yang diyakini mampu mengubah nasib kelab itu.
Keputusan itu menyaksikan pemilik bersama United, INEOS mengubah pendirian untuk tidak memecat Carrick meskipun pasukan berkenaan gagal mencatat kemenangan dalam lapan perlawanan dan kini menghuni tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris (EPL).
Carrick dipanggil menghadiri perbincangan krisis di pusat latihan Carrington, kelmarin sebelum pihak pengurusan memutuskan untuk memberinya peluang memperbaiki prestasi pasukan.
Pengendali itu sekurang-kurangnya akan terus membimbing United bagi kunjungan ke Chelsea, Sabtu ini, malah beliau turut mengendalikan sesi latihan semalam selepas pemain diberikan cuti seperti biasa sehari sebelumnya.
Eddie Howe dan Julian Nagelsmann sebelum ini muncul sebagai dua calon utama untuk menggantikan Carrick selepas kekalahan 0-3 di laman sendiri kepada Bournemouth, Ahad lalu, dilihat bakal menamatkan tugasnya.
Bagaimanapun, selepas meneliti beberapa pilihan untuk melantik pengurus baharu, pihak pengurusan United akhirnya memilih untuk terus mempertahankan Carrick yang dilantik secara tetap pada musim panas lalu.
Selepas kekalahan besar kepada Bournemouth, Carrick menegaskan, beliau tidak mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong di Old Trafford yang melaungkan namanya ketika beliau meninggalkan padang.
“Ia bukan perpisahan daripada saya. Saya mempunyai perasaan bercampur-baur dan bersimpati dengan pemain kerana mereka sedang melalui tempoh ,” katanya kepada Sky Sports.
Menurut laporan Chronicle Live, United juga berkemungkinan perlu membayar pampasan besar kepada Newcastle sekiranya melantik Howe, dianggarkan antara 3 juta pound (RM16 juta) hingga 6 juta pound (RM32 juta), meskipun beliau meninggalkan kelab itu pada Julai lalu. – AGENSI/UTUSAN











