Glasier cair dedah bom era Perang Dunia Pertama

Glasier cair dedah bom era Perang Dunia Pertama

250 bahan letupan tidak meletup sejak Perang Dunia Pertama ditemukan di kawasan glasier di Dolomites, Itali.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOLOMITES: Sebanyak 250 bahan letupan yang tidak meletup sejak Perang Dunia Pertama ditemukan di kawasan glasier yang semakin mencair di Dolomites, Itali.

Tentera Itali dalam kenyataan memaklumkan, bahan letupan itu termasuk peluru meriam Itali dan bom mortar buatan Perancis berjaya ditemukan serta dilupuskan oleh Briged Alpine Julia.

Senjata berkenaan digunakan dalam konflik dikenali sebagai Perang Putih, membabitkan pertempuran antara tentera Austria-Hungary dengan tentera Itali di kawasan pegunungan yang sukar dilalui dan bersuhu sejuk antara 1915 hingga 1918.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih seabad kemudian, beberapa pendaki melaporkan penemuan bom berkenaan sepanjang musim panas, kebanyakannya di kawasan Canal San Bovo, Lembah Primiero di timur Trentino.

Susulan laporan itu, anggota tentera menjalankan operasi pencarian secara menyeluruh di kawasan berkenaan serta beberapa lokasi glasier dan kawasan tanah tinggi lain di wilayah Trentino-Alto Adige, Dolomites.

Menurut Briged Alpine Julia, bahan letupan yang dilupuskan termasuk 18 peluru meriam Itali berkaliber 75 milimeter dan 37 bom mortar Thevetot buatan Perancis.

Bom mortar berkenaan turut dibekalkan kepada Tentera Diraja Itali ketika Perang Dunia Pertama, menurut kenyataan itu.

Ini bukan kali pertama peninggalan Perang Putih muncul akibat pencairan glasier di kawasan berkenaan, yang semakin pantas sejak lebih sedekad lalu.

Penyelaras projek warisan di Taman Negara Stelvio, Profesor Stefano Morosini berkata, penemuan itu berpunca daripada pemanasan global.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bahan berbahaya itu muncul setiap kali penghujung musim panas dan jumlahnya semakin meningkat setiap tahun.

“Bahan letupan itu terpelihara di bawah ais selama lebih 100 tahun. Ada yang sudah meletup, tetapi banyak lagi yang belum, menjadikannya sangat berbahaya apabila kembali terdedah,” katanya.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini