PARIS: Dewan Senat Perancis meluluskan rang undang-undang yang membolehkan penunjuk perasaan dipertanggungjawabkan dari segi kewangan atas kerosakan yang berlaku semasa demonstrasi jalanan, meskipun langkah itu dikritik kerana berpotensi menyekat hak untuk berhimpun.
Rang undang-undang itu digubal susulan rusuhan selepas pasukan bola sepak Paris Saint-Germain menewaskan Arsenal dalam perlawanan final Liga Juara-Juara UEFA Mei lalu.
Bagaimanapun, rang undang-undang itu semakin mendapat perhatian selepas protes berhubung isu pendidikan dan kenaikan kos sara hidup mencetuskan keganasan terburuk di Perancis dalam beberapa tahun, dengan ribuan premis perniagaan di seluruh negara dirosakkan dan dirompak.
Senat meluluskan versi rang undang-undang yang diperluaskan itu dengan 229 undi menyokong berbanding 105 menentang, hasil sokongan pakatan sayap kanan dan berhaluan tengah yang menguasai majoriti dewan berkenaan.
Pemimpin sayap kanan ekstrem, Marine Le Pen yang mendahului calon lain untuk menggantikan Presiden, Emmanuel Macron dalam pilihan raya musim bunga tahun depan, turut menyokong undang-undang itu.
Di bawah rang undang-undang itu, penunjuk perasaan boleh diarahkan membayar ganti rugi sehingga 10,000 euro (RM45,384) bagi kerosakan yang berlaku semasa demonstrasi jalanan.
Rang undang-undang berkenaan memperkenalkan liabiliti kewangan bersama terhadap sesiapa yang didapati secara sedar menyertai kumpulan yang dibentuk dengan tujuan melakukan perbuatan merosakkan harta benda.
Ia turut terpakai kepada individu yang secara sukarela terus menyertai perhimpunan yang berkemungkinan mengganggu ketenteraman awam selepas polis mengeluarkan dua amaran supaya orang ramai bersurai.
Bantuan kebajikan dan bantuan perumahan juga boleh disita bagi menampung kos kerosakan di bawah mekanisme itu, sekali gus mencetuskan kritikan keras daripada parti berhaluan kiri dan kumpulan advokasi.
Rang undang-undang itu kini dikemukakan kepada Dewan Kebangsaan yang mempunyai perwakilan daripada pelbagai kelompok politik Perancis untuk dibahaskan dan diundi.
Pada lewat Selasa, Senat meluluskan rang undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa mengarahkan kandungan media sosial yang menyeru pemberontakan atau mengangkat senjata menentang negara dipadamkan dengan segera.-AFP











