PETALING JAYA: Iconic Worldwide Berhad (Iconic Worldwide) menyasarkan peningkatan hasil hampir dua kali ganda kepada RM150 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027, terutamanya didorong oleh permintaan pasaran yang kukuh terhadap Iconic Harmony serta disokong oleh segmen pembuatan dan hospitalitinya.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Tan Kean Tet berkata, sasaran tersebut berikutan prestasi kukuh pada tahun kewangan 2026, yang menyaksikan kumpulan mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam tempoh lebih sedekad.
“Ini akan meletakkan kami pada kedudukan untuk mencatatkan prestasi keuntungan bersih
yang lebih kukuh.
“Kami yakin sasaran RM150 juta ini boleh dicapai kerana perniagaan hartanah kami sahaja dijangka menyumbang hasil sehingga RM120 juta, didorong oleh jualan Iconic Harmony iaitu pembangunan bercampur bertingkat tinggi di Bukit Mertajam, Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kerja-kerja pembinaan Iconic Harmony yang dilancarkan pada April 2024, mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM300 juta kini berjalan mengikut jadual serta dijangka pada pertengahan 2027.
Iconic Worldwide menjangkakan semua unit Iconic Harmony yang telah dijual akan sedia untuk diserahkan kepada pembeli sebelum penghujung 2027.
Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat juga menjangkakan hasil sekitar RM30 juta hingga RM40 juta daripada perniagaan pembuatan peralatan perlindungan diri (PPE) dan produk penjagaan bayi serta penyewaan salah sebuah kilang kami kepada Aperion Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd.
“Bagi segmen hospitaliti pula, kami menjangkakan hasil sebanyak RM10 juta daripada perniagaan pengurusan hotel dan pangsapuri servis kami.
“Sehingga tahun kewangan 2026, kira-kira RM80 juta daripada jualan telah diiktiraf sebagai hasil, manakala baki lebih RM200 juta dijangka diiktiraf sepanjang dua tahun kewangan akan datang,” ujarnya.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata, tumpuan kumpulan adalah terhadap penyerahan projek serta pengembangan asas hasil melalui sumber pendapatan berulang yang stabil.
“Sebagai contoh, melalui penyewaan kilang kami kepada Aperion, kami menjangkakan hasil sewaan tahunan tetap sekurang-kurangnya RM12 juta.
“Seiring dengan inisiatif ini, kami akan menguruskan kos operasi secara berhemat bagi memastikan pertumbuhan Kumpulan yang mampan,” jelasnya.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, Iconic Worldwide mencatatkan hasil sebanyak RM87.61 juta, meningkat 84.8 peratus tahun ke tahun berbanding RM47.40 juta pada tahun sebelumnya.
Peningkatan ketara dalam hasil ini didorong oleh segmen hartanah kumpulan, yang mencatatkan hasil sebanyak RM58.55 juta, meningkat lebih dua kali ganda tahun ke tahun berbanding RM24.42 juta pada 2025. –UTUSAN








