PETALING JAYA: Maybank memperluas kemudahan pembayaran kod QR rentas sempadan menerusi aplikasi MAE ke lima pasaran baharu iaitu China, Korea Selatan, Hong Kong, Filipina dan Laos melalui integrasi dengan Alipay+.
Integrasi itu membolehkan pelanggan Maybank membuat pembayaran kod QR menggunakan fungsi Scan & Pay dalam aplikasi MAE ketika berada di negara berkenaan tanpa perlu memuat turun aplikasi lain atau mendaftar akaun Alipay+.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar berkata, integrasi dengan Alipay+ yang disokong rangkaian pembayaran rentas sempadan PayNet memperluas capaian MAE Scan & Pay ke lebih banyak pasaran.
“Integrasi ini memberikan pelanggan fleksibiliti lebih besar untuk membuat pembayaran kod QR ketika melancong ke luar negara.
“Sehingga September 2026, jumlah transaksi rentas sempadan mencatatkan pertumbuhan hampir 80 peratus bagi tempoh tahun semasa berbanding tahun sebelumnya.
“Ini menunjukkan penerimaan pelanggan yang kukuh serta peranan pembayaran kod QR yang semakin berkembang dalam perbelanjaan pengguna,” katanya dalam kenyataan.
Selain lima pasaran baharu itu, kemudahan Scan & Pay menerusi aplikasi MAE turut tersedia di Singapura, Thailand dan Indonesia.
Perluasan berkenaan membolehkan pelanggan menggunakan kaedah pembayaran yang sama ketika berada di luar negara, selain terus menggunakan aplikasi MAE bagi keperluan perbankan harian.
Pelanggan juga boleh menyemak jumlah transaksi dalam mata wang tempatan dan ringgit sebelum mengesahkan pembayaran bagi memberikan ketelusan lebih baik ketika berbelanja di luar negara.
Beliau berkata, selain pembayaran kod QR, pelanggan boleh menggunakan Maybank Global Access Account-i untuk mengurus dan membuat pembayaran dalam pelbagai mata wang.
“Menjelang Disember 2026, Maybank akan menambah lima lagi mata wang bagi akaun berkenaan iaitu Yuan China, Baht Thailand, Rupiah Indonesia, Dong Vietnam dan Riel Kemboja, menjadikan keseluruhan mata wang yang disokong kepada 23.
“Peluasan penerimaan pembayaran kod QR dan keupayaan pelbagai mata wang itu merupakan sebahagian daripada usaha bank berkenaan memperkukuh ekosistem pembayaran rentas sempadannya.
“Kemudahan itu turut menyediakan lebih banyak pilihan kepada pelanggan untuk membuat pembayaran dan mengurus kewangan ketika berada di luar negara,” ujarnya. – UTUSAN











