DBKL sasar kurangkan 4 lokasi hotspot banjir kilat

DBKL sasar kurangkan 4 lokasi hotspot banjir kilat

MUHAMMAD Azmi Mohd Zain merasmikan Hari Pengurangan Risiko Bencana Wilayah Persekutuan sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional di Menara Sri Wilayah, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan pengurangan empat kawasan panas (hotspot) banjir kilat di ibu negara daripada 14 kepada 10 lokasi menjelang hujung tahun ini menerusi pelbagai langkah mitigasi bersama agensi berkaitan.

Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata, usaha berkenaan termasuk kerja-kerja pengorekan sungai serta penyediaan kolam takungan air melalui kawalan perancangan pembangunan bagi mengurangkan risiko banjir kilat.

“Berkenaan dengan pengurusan risiko, sebenarnya pihak-pihak yang bertanggungjawab terutamanya DBKL, JPS (Jabatan Pengairan Saliran) sentiasa melaksanakan kerja-kerja bagi memastikan kawasan-kawasan yang berisiko banjir dapat diminimumkan risiko.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada masa ini, di Kuala Lumpur terdapat 14 kawasan ‘hotspot’ yang sering berlaku banjir kilat dan DBKL menyasarkan daripada 14 kawasan ‘hotspot’ dikurangkan kepada 10 dengan kerjasama daripada agensi-agensi berkaitan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Pengurangan Risiko Bencana Wilayah Persekutuan sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Azmi berkata, semua agensi berkaitan turut menyelaraskan persiapan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya bencana sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Jelasnya, pusat gerakan yang dirasmikan pada hari ini berfungsi sebagai pusat penyelarasan maklumat berkaitan potensi risiko insiden dan bencana di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Pusat berkenaan membolehkan akses kepada maklumat daripada agensi berkaitan, termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Perbadanan Putrajaya bagi membantu penyelarasan pengurusan bencana,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung kesiapsiagaan sistem amaran, beliau berkata, tahap kesediaan siren dan peralatan penyampaian maklumat kepada orang ramai di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan berada dalam keadaan baik.

Beliau berkata, satu simulasi turut dilaksanakan di Labuan pada minggu lalu bagi menguji tahap kesiapsiagaan sistem berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini