Tukang cat mengaku salah memandu bawah pengaruh dadah

Tukang cat mengaku salah memandu bawah pengaruh dadah

YAP Kian Wai dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini bagi berdepan pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah baru-baru ini.--UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang lelaki yang dikesan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini didakwa atas empat pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah.

Tertuduh, Yap Kian Wai, 39, mengaku bersalah selepas kesemua kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Marlissa Mohd Fahmy.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kecederaan kepada empat individu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 7.40 pagi di Kilometer 25, Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini pada 22 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun serta denda antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, J. Vesvanathan memohon supaya jaminan minimum RM12,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin.

Dalam pada itu, tertuduh turut berdepan satu pertuduhan mengambil dadah berbahaya dan dua pertuduhan memiliki dadah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine ke dalam tubuhnya di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, kira-kira pukul 7.45 malam pada 22 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, tertuduh didakwa memiliki dadah berbahaya jenis nimetazepam seberat 1.22 gram dan ketamine seberat 0.35 gram. Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Peguam bela, C. Hemananthini memohon supaya mahkamah mengenakan jaminan minimum dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai tukang cat tanpa pendapatan tetap selain perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan seorang anak yang masih bersekolah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini