AI chip: Kes kelima tahun ini, rampasan cecah RM100 juta

Cip AI: Kes kelima tahun ini, rampasan cecah RM100 juta

ASPALILA AG. Tuah (tengah) bersama Masyita Ismail (kanan) menunjukkan gambaran Advanced AI Chip di sidang media di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan lima kes rampasan cip kecerdasan buatan (AI) termaju tahun ini dengan nilai keseluruhan melebihi RM100 juta, termasuk rampasan terbaharu 30 unit pelayan bernilai RM49.5 juta di Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Kastam KLIA, Aspalila AG Tuah berkata, rampasan terbaharu itu dilakukan pada 15 Oktober lalu, kira-kira pukul 11.30 pagi, selepas sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan memeriksa sebuah gudang di zon berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan menemukan 30 unit pelayan yang mengandungi Advanced Ai Chip dibawa masuk dari sebuah negara di Asia sebelum dieksport semula ke negara lain di rantau sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Siasatan awal mendapati pelayan berkenaan diikrarkan sebagai komponen elektronik bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Selain itu, sindiket juga menggunakan Malaysia sebagai laluan transit bagi memastikn tiada sebarang sekatan semasa pengeksportan server ke destinasi seterusnya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, kelima-lima kes rampasan Advanced cip AI yang dikesan tahun ini dipercayai membabitkan sindiket sama, namun setakat ini masih belum ada tangkapan dilakukan.

Katanya, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti pihak yang terbabit, termasuk pengeksport, manakala maklumat lanjut mengenai negara asal dan destinasi pelayan berkenaan belum dapat didedahkan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 yang memperuntukkan denda sehingga RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu yang melakukan kesalahan dengan niat, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20 juta jika disabitkan kesalahan.

“Mana-mana pihak yang ingin mengeksport atau membawa masuk cip AI yang dikategorikan sebagai barangan terkawal secara transit perlu memaklumkan kepada Sekretariat Perdagangan Strategik (STS) sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal dan memohon permit STA selepas mendapat kebenaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sekretariat Perdagangan Strategik Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Masyita Ismail berkata, cip AI berkenaan mempunyai keupayaan tinggi dan boleh digunakan dalam pelbagai bidang, termasuk ketenteraan.

Beliau berkata, kawalan terhadap cip berkenaan penting kerana ia dikategorikan sebagai barangan guna dwifungsi yang boleh digunakan untuk tujuan awam, selain berpotensi menyokong pembangunan senjata pemusnah besar-besaran.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini