BUKIT MERTAJAM : Empat sekawan masing-masing didenda sebanyak RM3,000 selepas kesemua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan berpakat melakukan penipuan dalam talian menerusi sindiket ‘Love Scam’ ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Ho Kui Ming, 33; Edmund Yii Kan Xi; 26, Choo Xin Thuan, 33; dan Tiong Weng Chiong, 32, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Sharifah Razali.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh yang juga warga tempatan didakwa berpakat melakukan aktiviti penipuan dalam talian yang menyalahi undang-undang di sebuah premis di Taman Alma Indah dalam daerah Seberang Perai Tengah, di sini, kira-kira pukul 11.15 malam pada 19 Oktober lalu.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 120B(1) kanun sama. Sabit kesalahan pula, kesemua mereka boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala keempat-empat tertuduh diwakili oleh dua peguam iaitu Chiang Kian Hong dan Ima Shakira Mohd Salim.
Terdahulu, ketika prosiding, Kian Hong dan Ima Shakira memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda minimum terhadap anak guam mereka yang kesemuanya telah mengaku bersalah untuk menjimatkan masa serta kos perbicaraan di mahkamah.
Mahkamah seterusnya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 terhadap setiap tertuduh dan hukuman penjara selama enam bulan menanti jika mereka gagal untuk membayar denda berkenaan.
Difahamkan, kesemua tertuduh bagaimanapun membayar denda yang dikenakan itu.-UTUSAN











